R&R di Air Manis Sabak Bernam pacu ekonomi, laluan 35,000 kenderaan sehari

25 Apr 2026, 4:34 AM
R&R di Air Manis Sabak Bernam pacu ekonomi, laluan 35,000 kenderaan sehari
R&R di Air Manis Sabak Bernam pacu ekonomi, laluan 35,000 kenderaan sehari
R&R di Air Manis Sabak Bernam pacu ekonomi, laluan 35,000 kenderaan sehari

SABAK BERNAM, 25 APR: Laluan lebih 35,000 kenderaan sehari di Pekan Air Manis bakal menjadi pemangkin ekonomi baharu apabila pembinaan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di kawasan itu siap sepenuhnya kelak.

 Ketua pegawai eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berkata, keyakinan itu didorong apabila siap sepenuhnya Lebuhraya Pantai Barat (WCE) sepanjang 233 kilometer yang menghubungkan Banting ke Taiping.

 Menurut Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, projek yang menelan belanja lebih RM7 juta itu sebagai sebahagian komitmen menyokong agenda pembangunan negeri, khususnya di kawasan luar bandar.

 “R&R ini dibangunkan di tapak seluas kira-kira tiga ekar yang diwartakan Majlis Daerah Sabak Bernam, terletak berhampiran jalan utama Kuala Selangor - Teluk Intan serta sebahagian jajaran WCE.

 “Apabila WCE siap kelak, jumlah trafik dijangka terus meningkat dan kawasan ini berpotensi menjadi laluan alternatif kepada lebuh raya utama, sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada Pekan Air Manis dan Sabak Bernam,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Hentian Rehat & Rawat serta Pusat Pengumpulan Hasil Tani Kohijrah, di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik perasmian dalam Majlis Pecah Tanah Projek R&R serta Pusat Pengumpulan Hasil Tani KOHIJRAH Selangor di Pekan Air Manis Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Majlis pecah tanah itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin shari dengan kehadiran EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop dan Pegawai Daerah Sabak Bernam Sadikin Sadin.

 Raja Ahmad Shahrir berkata, pembangunan itu turut memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna jalan raya, malah kepada komuniti setempat termasuk petani kecil yang memasarkan hasil mereka.

 Jelasnya, R&R berkenaan akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 10 unit kedai makan, lapan gerai buah-buahan, tandas awam serta stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).

 “Reka bentuknya berkonsepkan seni bina Nusantara industri dengan elemen geometri kemelayuan, bumbung berlapis dan konsep terbuka yang bukan sahaja menarik dari segi estetika, malah menjimatkan kos penyelenggaraan,” katanya.

 Tambah beliau, pembinaannya juga dijangka meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dengan menyediakan hentian rehat yang selesa sekali gus mengurangkan keletihan pemandu.

 Katanya, inisiatif tersebut selari dengan perancangan pembangunan Majlis Daerah Sabak Bernam 2030 dan inisiatif Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) yang menekankan pembangunan mampan luar bandar.

 “Dengan adanya kemudahan ini, kita harap masyarakat setempat dapat memanfaatkan peluang yang diwujudkan, sekali gus memperkukuh ekonomi komuniti secara menyeluruh,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Pecah Tanah Projek R&R serta Pusat Pengumpulan Hasil Tani KOHIJRAH Selangor di Pekan Air Manis Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Selangor akan membangunkan R&R pertama di Sabak Bernam yang menggabungkan kemudahan rehat dan pusat pengumpulan hasil tani.

Projek bernilai RM7 juta itu dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun dan dijangka menjadi pemangkin ekonomi setempat. 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619