Projek akuakultur Sabak Bernam bakal jana lebih RM87.5 juta dalam 10 tahun

23 Apr 2026, 3:56 AM
Projek akuakultur Sabak Bernam bakal jana lebih RM87.5 juta dalam 10 tahun

SHAH ALAM, 23 APRIL: Projek pembangunan industri hiliran hasil laut dan agromakanan di Sungai Lang, Sabak Bernam dijangka menjana pendapatan sektor akuakultur melebihi RM87.5 juta dalam tempoh 10 tahun.

EXCO Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail berkata projek yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 100 ekar itu dijadual bermula pertengahan tahun ini.

"Pembangunan fasa pertama ini bertujuan untuk menyediakan kolam ternakan akuakultur, mengawal dan meningkatkan bekalan produk serta membangunkan kawasan pemprosesan produk hiliran hasil laut yang menyumbang kepada keterjaminan bekalan hasil laut.

"Konsep pembangunan ini akan diintegrasikan ke kawasan Teluk Rhu di atas tanah seluas 100 ekar pada masa akan datang," katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehen Mukhyi berhubung projek Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), beliau memaklumkan tiga rancangan jangka panjang akan dilaksanakan menerusi pembangunan pertanian pintar Smart Selangor Agro Farm (SSAF) di Sungai Air Tawar.

EXCO Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar menunjukkan buah nanas yang diusahakan di ladang Haji Zul dan Pak Din di Kampung Batu 40, Sabak Bernam.

"Projek pertanian pintar ini mengeluarkan sulur nanas MD2, benih betik Selangor menjelang 2027 dan benih kelapa hibrid mulai 2029 hingga 2031.

"Bagi mengelakkan pembaziran guna tanah sehingga objektif jangka panjang ini tercapai, beberapa projek tanaman kontan dilaksanakan seperti nanas Yankee, jambu, pisang dan sayur-sayuran seperti bendi, terung dan peria," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan sebuah pusat maklumat dan penerangan akan dibangunkan bagi memudahkan pengumpulan data serta penyampaian maklumat kepada pelabur dan orang awam sepanjang proses prapembangunan.

SABDA merupakan projek di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka utama pembangunan ekonomi mampan negeri, termasuk sasaran menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Selain SABDA, inisiatif itu turut melibatkan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) sebagai langkah menghadapi jangkaan kelembapan ekonomi global pada tahun hadapan.

Sementara itu, Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dijangka dibentangkan Jun ini akan membawa beberapa agenda baharu, termasuk usaha menjadikan Selangor sebagai bandar metropolitan menjelang 2029 serta meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam antara utara dan selatan negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619