SHAH ALAM, 24 APRIL: Sebanyak 1,227 program Jualan Rahmah MADANI telah dilaksanakan di Selangor setakat 15 April tahun ini.
EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Rizam Ismail berkata jumlah program itu akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi memperluas manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) turut menganjurkan siri Jualan Rumpun Selangor bagi memasarkan produk usahawan koperasi terus kepada pengguna.
“Gerakan koperasi di Selangor turut diperkasa bagi meningkatkan pendapatan rakyat, memandangkan model perniagaan koperasi ini adalah secara perkongsian ahli-ahlinya, yang mana pada akhirnya keuntungan yang dijana dapat meningkatkan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
“Ke arah merintis pembangunan sistem rantaian bekalan produk pertanian dan perikanan koperasi, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM3 juta bagi pembangunan Pusat Pengumpulan Hasil Tani Koperasi Negeri Selangor di Sabak Bernam yang akan dibangunkan KOHIJRAH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Nushi Mahfodz mengenai cadangan memperkenalkan intervensi pasaran bagi memastikan harga barangan asas kekal mampu milik pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor juga melaksanakan program Pasar Patuh sebagai sebahagian usaha memperkukuh pematuhan peniaga.
“Buat masa ini, dua pasar telah dikategorikan sebagai Pasar Patuh di Selangor iaitu di Pasar Awam Dengkil dan Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya,” katanya.
Beliau berkata, tujuh kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta lokasi tumpuan pelancongan turut dikenal pasti sebagai Program Patuh dan zon tumpuan pelancongan Patuh.
“KPDN juga memperkenalkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi bagi memastikan pengagihan dan penggunaan bahan api bersubsidi dapat dikawal secara lebih sistematik melalui kad fleet,” katanya.
Pada akhir tahun lalu, KPDN melancarkan program PATUH (Program Asas Tahap Utamakan Hak) sebagai inisiatif memperkukuh budaya pematuhan undang-undang perniagaan dan melindungi hak pengguna.







