Selangor teraju gerakan koperasi negara, KoHijrah perkasa rantaian hasil tani

25 Apr 2026, 5:56 AM
Selangor teraju gerakan koperasi negara, KoHijrah perkasa rantaian hasil tani

SABAK BERNAM, 25 APRIL: Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju gerakan koperasi negara menerusi penubuhan Koperasi Warga Hijrah (KoHijrah) yang menjadi antara pemangkin utama dalam memperkasa rantaian bekalan dan pemasaran hasil pertanian negeri.

EXCO Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail berkata sehingga tahun lalu, Selangor mencatatkan jumlah koperasi tertinggi di negara ini dengan 2,217 koperasi, merangkumi perolehan RM952.3 juta, aset RM2.79 bilion serta syer dan yuran berjumlah RM783.4 juta.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan kekuatan gerakan koperasi negeri yang bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi pemacu penting ekonomi rakyat.

“Koperasi adalah entiti perniagaan rakyat yang berasaskan perkongsian ahli dan berperanan besar dalam memperkasa ekonomi negeri melalui rantaian bekalan produk serta pengukuhan ekosistem perniagaan.

“Justeru saya telah membawa hasrat Dato' Menteri Besar untuk terus mengekalkan ekosistem gerakan koperasi di negeri ini melalui sistem rantaian bekalan produk koperasi.

“Alhamdulillah Dato’ Menteri Besar telah bersetuju untuk pembangunan awal projek Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dengan memberi peruntukan RM5 juta termasuk pusat pengumpulan hasil tani negeri Selangor pada hari ini,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diperhatikan EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail melakukan gimik perasmian dalam Majlis Pecah Tanah Projek R&R serta Pusat Pengumpulan Hasil Tani KoHijrah di Pekan Air Manis Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Hentian Rehat dan Rawat (R&R) serta Pusat Pengumpulan Hasil Tani KoHijrah di sini, yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Majlis turut dihadiri EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Sadikin Sadin.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop.

Menurut Rizam yang juga Pengerusi SABDA, peruntukan RM5 juta itu disalurkan bagi menyokong pembangunan pusat pengumpulan hasil tani koperasi, selain menyediakan ruang khas di R&R baharu untuk memasarkan produk pertanian.

“Inisiatif ini membolehkan hasil tani dikumpul dan dipasarkan secara lebih tersusun melalui koperasi, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan petani dan usahawan kecil,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diperhatikan EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail melakukan gimik perasmian dalam Majlis Pecah Tanah Projek R&R serta Pusat Pengumpulan Hasil Tani KoHijrah di Pekan Air Manis Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau menambah, Kerajaan Negeri turut memberi fokus kepada pembangunan pusat hasil tani koperasi secara berperingkat di seluruh Selangor bagi memperluaskan jaringan pemasaran produk tempatan.

Katanya, penyediaan infrastruktur lengkap juga penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta menjadikan Sabak Bernam sebagai kawasan desa yang lestari dan berdaya huni.

“Dengan siapnya projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang dijangka pada Disember 2027, kawasan ini akan lebih mudah diakses dan seterusnya merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Mengikut data Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Selangor kekal di kedudukan pertama dengan jumlah koperasi terbanyak diikuti Sabah (2,033), Perak (1,735), Johor (1,434) dan Sarawak (1,204).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619