Zon Industri Perikanan Sungai Lang: Selangor utamakan tenaga kerja tempatan

25 Apr 2026, 10:00 AM
Zon Industri Perikanan Sungai Lang: Selangor utamakan tenaga kerja tempatan

SABAK BERNAM, 25 APRIL: Kerajaan Selangor mengutamakan penglibatan warga kerja tempatan dalam pembangunan Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Pengerusi Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), Datuk Rizam Ismail berkata inisiatif itu bukan sahaja menjana pekerjaan baharu, malah memberi peluang kepada golongan belia termasuk nelayan dan petani meningkatkan taraf ekonomi.

Menurutnya, kedudukan strategik kawasan berkenaan yang berhampiran institusi pendidikan seperti politeknik dan pusat latihan lain memberi kelebihan dalam menyediakan tenaga kerja mahir bagi sektor akuakultur dan pemprosesan makanan.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berucap sempena majlis Peluncuran Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) di Sungai Lang, Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kawasan ini sememangnya berada dalam ‘lembah ilmu’ dengan kehadiran institusi pendidikan yang boleh membekalkan tenaga kerja berkemahiran kepada industri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ZIPS di Sungai Lang, di sini.

Beliau yang juga EXCO Kemajuan Desa berkata pembangunan ZIPS turut dijangka memperkukuh rantaian bekalan industri perikanan negara, khususnya dengan peningkatan kecekapan logistik.

Katanya, pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang bakal memendekkan jarak penghantaran hasil laut sekali gus mempercepatkan akses ke rangkaian pengedaran nasional.

“Dengan pengurangan jarak kira-kira 40 km, hasil laut dari Sungai Lang akan mempunyai akses lebih pantas ke rangkaian pengedaran nasional, sekali gus menjimatkan kos dan masa kepada nelayan serta pengusaha,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari meninjau kawasan pembangunan selepas majlis Peluncuran Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) di Sungai Lang, Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Tambah beliau, kedudukan zon berhampiran Hab Bagan Datuk sebagai pusat pengedaran ikan utama negara membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk menyertai rantaian nilai yang lebih besar.

Dalam masa sama, penyediaan kemudahan bersepadu termasuk pemprosesan, logistik dan pusat penyimpanan sejuk beku dijangka mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

“Perkongsian infrastruktur moden ini akan membantu menurunkan kos operasi pengusaha kecil dalam radius sekitar 50 kilometer dan meningkatkan daya saing mereka,” tambahnya.

Rizam berkata pelaksanaan ZIPS di bawah inisiatif SABDA merupakan langkah strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta membina ekosistem ekonomi yang mampan.

“Ini bukan sekadar projek akuakultur biasa, tetapi satu transformasi menyeluruh yang menggabungkan pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan kelestarian untuk manfaat rakyat tempatan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619