SABAK BERNAM, 25 APRIL: Selangor bakal membangunkan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Sabak Bernam, yang pertama seumpamanya di negeri ini menggabungkan kemudahan rehat dan pusat pengumpulan hasil tani.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek bernilai RM7 juta itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan akan menjadi pemangkin baharu kepada ekonomi setempat.
Menurutnya, kemudahan tersebut bukan sahaja menyediakan keperluan asas kepada pengguna jalan raya, malah membuka peluang kepada petani dan usahawan koperasi menjana pendapatan.
“R&R ini akan menjadi platform kepada petani di bawah Koperasi Kohijrah untuk mengumpul dan memasarkan hasil tani ke pasaran lebih besar, termasuk kepada pelancong dan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Hentian Rehat & Rawat serta Pusat Pengumpulan Hasil Tani Koperasi Warga Hijrah (KoHijrah) Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama, EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop dan Pegawai Daerah Sabak Bernam Sadikin Sadin.

Amirudin berkata projek itu turut menamatkan penantian penduduk yang telah lama dibangkitkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) sejak 2013.
“Selama tiga penggal, isu ini kerap dibangkitkan melibatkan dua keutamaan iaitu R&R dan perumahan. Hari ini, kita berjaya memuktamadkan pelaksanaannya hasil kerjasama pentadbiran negeri, agensi dan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan projek itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan lebih seimbang dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kemudahan tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 60,000 alumni program Hijrah Selangor yang sebelum ini menerima pembiayaan kira-kira RM600 juta bagi mengembangkan perniagaan.
Katanya, melalui koperasi, antara 5,000 hingga 6,000 usahawan telah berjaya meningkatkan pendapatan dan akan terus disokong melalui penyediaan infrastruktur serta jaringan pemasaran lebih luas.
“Cabaran utama sektor pertanian adalah pemasaran. Sebab itu kita perlu memperkukuh jaringan agar produk tempatan dapat menembusi pasaran lebih besar, termasuk ke negeri lain seperti Perak,” katanya.
Beliau turut menegaskan setiap pembangunan negeri dilaksanakan secara terancang dengan memberi penekanan kepada aktiviti ekonomi setempat bagi meningkatkan nilai tambah kepada rakyat.
“Inisiatif seperti ini adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang negeri. Kita tidak mahu pembangunan dibuat secara semberono, sebaliknya memastikan impaknya berterusan kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pelaksanaan inisiatif pembangunan seperti Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) turut menunjukkan hasil positif apabila kehadiran pelancong meningkat sebanyak 35 peratus.
“Ini membuktikan bahawa apabila kita bangunkan kawasan secara menyeluruh dengan infrastruktur dan ekonomi yang kukuh, ia mampu merancakkan pertumbuhan setempat,” katanya.









