SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta, khusus bagi mendepani krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pakej fasa pertama yang bermula Jun ini bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan selain mengawal kadar inflasi daripada meningkat keterlaluan.
Menurut Amirudin, pakej yang menyediakan bantuan bersasar kepada golongan rentan itu menggunakan peruntukan negeri dalam Belanjawan 2026, yang disusun semula mengikut keperluan semasa.
“Sebagai langkah pertama, Kerajaan Negeri menambah peruntukan RM5 juta bagi melaksanakan Jelajah Ehsan Rahmah yang akan berlangsung setiap bulan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Seterusnya, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM50 juta kepada Gudang Makanan Selangor bagi meningkatkan stok bekalan makanan,” katanya pada sidang media di Dewan Annexe di sini, hari ini.
Bagi mengawal kesan inflasi, Amirudin menambah, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada 50,000 warga Selangor.
Jelasnya, inisiatif berjumlah RM30 juta itu dilaksanakan bagi memastikan tiada rakyat yang hidup dalam keadaan miskin tegar sekiranya kehilangan kerja atau punca pendapatan akibat krisis tersebut.
Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan RM30 sebulan kepada 50,000 warga Selangor selama enam bulan sebagai langkah menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan awam.
“Untuk itu, sebanyak RM5.4 juta akan diperuntukkan dan ini juga merupakan peningkatan daripada RM5 juta yang diperuntukan di peringkat asal, sekali gus menjadikan peruntukan keseluruhan pengangkutan awam RM10.4 juta,” katanya.
Buat julung kalinya, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan menyediakan bantuan sarapan percuma sekolah kepada pelajar di 873 sekolah melalui semua pihak berkuasa tempatan (PBT), bermula Ogos ini.
Sebagai sokongan kepada industri pertanian, Ahli Parlimen Gombak itu menambah, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM25 juta bagi menampung kos bahan api atau input pertanian.
“Misalnya, 18,000 pesawah akan diberikan RM500 bagi setiap hektar tanah yang diusahakan untuk satu musim tanaman, manakala 2,000 nelayan akan diberikan bantuan RM300 sebulan untuk tempoh enam bulan.
“Bagi petani, penternak, dan pengusaha akuakultur, sebanyak RM450 akan disalurkan setiap bulan selama enam bulan agar input pertanian dapat terus ditampung dan tidak memberikan kesan peningkatan harga barang,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut berhubung rapat dengan komuniti usahawan dalam pelbagai sektor termasuk industri mikro dan kecil, khususnya peruncitan.
Melalui Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH), katanya, sebanyak RM6 juta akan disalurkan untuk menampung kos operasi dan kos barangan bagi koperasi dalam bidang peruncitan dan logistik.
“Malah, Platform Selangor (PLATS) akan turut diperluaskan mulai bulan Mei depan supaya lebih ramai peniaga tempatan dapat memanfaatkan bantuan daripada ekosistem negeri,” katanya.
Tanpa mengenepikan peranan industri pembinaan, pembuatan dan logistik, menurut Amirudin, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri akan melaksana sesi libat urus agar kos dan bekalan barangan binaan dapat ditangani secara proaktif.








