Selangor pertimbang pakej rangsangan bantu rakyat, perniagaan

15 Apr 2026, 4:28 AM
Selangor pertimbang pakej rangsangan bantu rakyat, perniagaan

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan Selangor mempertimbang untuk menyediakan pakej rangsangan bersasar bagi memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan perniagaan ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin memberitahu langkah seumpama itu perlu demi membantu golongan rentan, sama seperti yang dilancarkan semasa pandemik Covid-19 sebelum ini.

Beliau merujuk kepada golongan berpendapatan rendah (B40), petani, kontraktor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemain industri.

"Ini semua dalam radar kita untuk lihat dari segi kita hendak sesebuah perniagaan itu kekal dan boleh diteruskan. Dalam masa macam ini, kerajaan sudah tentu kena berbelanja.

"Perbelanjaan ini (pakej), kita kena tengok betul-betul. Maknanya, kita boleh kekal dalam ekonomi yang baik dan warga (rakyat) boleh hiduplah. Kesinambungan hidup penting,” katanya kepada Media Selangor semalam.

Ahmad Fadzli menjelaskan perbincangan awal untuk menyemak semula belanjawan negeri berikutan tekanan kos sara hidup diadakan pada minggu lalu dan kini pada peringkat pemetaan data.

Katanya, pengubahsuaian belanjawan akan dibuat berasaskan kes demi kes dengan memberi tumpuan kepada segmen masyarakat yang sensitif sebelum keutamaan peruntukan disusun semula.

Beliau berkata peruntukan boleh dialih kepada program tertentu seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dan inisiatif bantuan makanan, bergantung kepada keutamaan.

"Cuma kalau ada peruntukan tambahan atau kita hendak guna semula peruntukan yang masih ada ke arah menangani krisis, itu belum dibincang secara terperinci.

"Dasar bekerja dari rumah sudah berjalan. Jadi, maknanya kita kena bersedia sekurang-kurangnya sampai enam bulan (ketidaktentuan),” katanya.

Ahmad Fadzli juga memberitahu pentadbiran negeri juga bekerja rapat dengan Kementerian Ekonomi lantaran penyelarasan dengan kerajaan persekutuan menjadi keutamaan semasa krisis.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619