WASHINGTON, 15 APRIL: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa bahawa perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran kini telah berakhir.
Beliau mengumumkan perkara itu dalam temu bual bersama wartawan Fox News, Maria Bartiromo yang dirakam di Rumah Putih dan dijadualkan disiarkan dalam program Fox Business hari ini.
Dalam klip yang dikongsikan, Trump menjawab ringkas apabila ditanya sama ada konflik tersebut sudah tamat. “Ia sudah berakhir,” katanya.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas beliau mengumumkan rancangan untuk menyekat sepenuhnya Selat Hormuz menggunakan kekuatan tentera laut serta memberi amaran kepada Iran supaya menerima syarat ditetapkan atau berdepan serangan baharu.
Konflik tersebut susulan lebih sebulan operasi ketenteraan intensif oleh Amerika Syarikat dan Israel sejak akhir Februari lalu, termasuk serangan ke atas kemudahan pertahanan dan nuklear Iran.
Trump sebelum ini mendakwa Iran telah “dilumpuhkan sepenuhnya” dan tidak lagi menjadi ancaman.
Bagaimanapun, di sebalik gencatan senjata selama 14 hari, Tentera Laut AS masih meneruskan sekatan di Selat Hormuz, sekali gus menghalang eksport minyak Iran serta mengehadkan laluan perkapalan di kawasan yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Rundingan damai di Pakistan pada hujung minggu lalu pula berakhir tanpa sebarang persetujuan berhubung program nuklear Iran.
Kenyataan Trump itu bagaimanapun mencetuskan kekeliruan di peringkat antarabangsa, terutama selepas beliau sebelum ini menyatakan rancangan sekatan menyeluruh susulan kegagalan rundingan berkenaan.








