SHAH ALAM, 15 APRIL: Peniaga kecil kini semakin terhimpit dengan kenaikan kos bahan mentah dan pengurangan pelanggan susulan impak konflik Asia Barat, memaksa mereka mengubah strategi perniagaan demi kelangsungan hidup.
Tinjauan di beberapa medan selera sekitar Shah Alam hari ini mendapati peniaga mula menyesuaikan operasi, termasuk mengurangkan kuantiti hidangan, mengekalkan harga serta mempelbagaikan sumber pendapatan.

Andre Sharifuddin, 33, yang mengusahakan perniagaan sate berkata beliau mula merasai tekanan sejak lebih setahun lalu apabila harga bahan mentah semakin meningkat.
"Saya berniaga pelbagai jenis sate. Ada sate padang, ayam... kambing. Sebagai peniaga memang sangat terasa sebab harga barang naik, pelanggan pun semakin kurang.
"Buat masa ini saya masih kekalkan harga ikut keadaan semasa, tetapi risau kalau naik lagi nanti pelanggan terus berkurang.
"Kita buat strategi lain juga macam terima tempahan untuk majlis, tidak hanya bergantung jualan di kedai," katanya ketika ditemui Media Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga makanan Korea, Asni Renda, 45, berkata kenaikan harga bahan mentah memberi kesan langsung kepada perniagaannya.
"Kita bimbang kalau naikkan harga jualan nanti pelanggan lari. Tetapi kalau tak naik nanti kurang untung.
"Lepas raya ini memang terasa, pelanggan semakin kurang. Memang banyak cabaran tetapi perniagaan tetap diteruskan kerana ini satu-satunya sumber pendapatan," katanya yang berniaga dari jam 11 pagi hingga 11 malam.
Bagi peniaga ayam penyet dan bakso, Erna Dell, 42, berkata beliau memilih untuk mengekalkan harga tetapi mengurangkan kuantiti hidangan sebagai langkah menampung kos.

"Kami tak ambil pekerja sebab risau tak mampu bayar gaji. Kos barang naik, sewa kedai pun RM2,300 sebulan. Jadi setakat ini kami kekalkan harga, cuma kurangkan sedikit kuantiti," katanya.
Erna yang berasal dari Sabah berkata beliau telah menetap di Selangor sejak empat tahun lalu dan kini meneruskan perniagaan selepas premis lamanya ditutup.
Dalam pada itu, peniaga kuih-muih, Ali Rahmatullah, 25, memanfaatkan platform dalam talian bagi menambah pendapatan selain operasi kedai fizikal.
"Saya juga jual secara dalam talian dan ada beberapa cawangan lain di Seksyen 18 dan 19. Tetapi memang terjejas juga sebab sekarang kurang orang hantar kuih untuk dijual.
"Sebelum ini memang ramai hantar kuih cuma sekarang semakin kurang dan Alhamdulillah kita pun ada produk sendiri iaitu karipap dan keropok lekor," katanya.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menyediakan pakej rangsangan bersasar bagi memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan perniagaan ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin memberitahu langkah seumpama itu penting bagi membantu golongan rentan, sepertimana inisiatif yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 sebelum ini.
Menurutnya, antara kumpulan yang dikenal pasti termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), petani, kontraktor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemain industri.









