SHAH ALAM, 6 APRIL: Delegasi Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 meneruskan siri kunjungan hormat untuk menyampaikan jemputan rasmi ke zon utara, hari ini.
Delegasi yang diketuai EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi, berkunjung ke Perlis dan Kedah, masing-masing menjadi negeri kelima dan keenam yang dikunjungi.
Acara dwitahunan SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 14 hingga 25 Ogos depan.
Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA Selangor berkata lawatan dan kunjungan hormat ke setiap negeri yang terlibat merupakan tradisi dan formalisasi setiap kali penganjuran SUKMA.
“Saya turut memberi jaminan segala persiapan menjelang temasya sukan ini sedang berjalan lancar dikala wujud kebimbangan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat.
“Sekretariat SUKMA Selangor akan membawa isu kenaikan kos logistik, khususnya melibatkan bahan api ke mesyuarat jawatankuasa tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohamed Taufiq Johari dalam masa terdekat.
“Kita mengharapkan sokongan daripada negeri-negeri lain untuk meneruskan penganjuran SUKMA Selangor tanpa sebarang penangguhan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, ketibaan Mohd Najwan bersama delegasi di Perlis disambut EXCO Belia dan Sukan, Komuniti, Digital, Pengangkutan, Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis Wan Zikri Afthar Ishak.
Manakala, di Kedah pula oleh Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhamad Radhi Mat Din.
Turut mengiringi Mohd Najwan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Dato’ Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Selangor Mohamad Nizam Marjugi.
SUKMA kali ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan dengan upacara perasmian berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.
Delegasi SUKMA Selangor 2026 telah berkunjung ke Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.









