SHAH ALAM, 12 APRIL: Sukan Malaysia (SUKMA) bukan sekadar acara dalam kalendar sukan negara sebaliknya turut menjadi platform penting dalam melahirkan atlet baharu ke peringkat lebih tinggi.
Tinjauan Media Selangor mendapati temasya dwitahunan itu boleh diperkasa dengan penambahbaikan termasuk memperluaskan kategori acara agar selari dengan minat semasa, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Antara cadangan yang diketengahkan ialah penglibatan e-sukan yang semakin mendapat tempat serta tidak hanya tertumpu kepada sukan teras semata-mata.
Bagi Mohamad Azmer Asopah, 45, beliau meluahkan rasa bangga apabila Selangor dipilih sebagai tuan rumah SUKMA sekali gus membuka peluang mempromosikan negeri itu.

“Ini adalah peluang untuk Selangor mempromosikan fasiliti sukan yang tersedia seperti kompleks sukan serta pembangunan bangunan komersial,” katanya.
Menurutnya, SUKMA juga berperanan sebagai platform penting dalam melahirkan atlet negara dan wajar diperluaskan dengan kepelbagaian jenis sukan.
“Sukan baharu seperti pickleball boleh dipertimbangkan kerana berpotensi besar menarik lebih banyak penyertaan,” katanya.
Sementara itu, Kana Periasamy, 52, berkata beliau mengikuti perkembangan SUKMA khususnya bola sepak dan suka meneliti latar belakang pemain dari setiap negeri.
Beliau berpandangan kejayaan atlet bukan sahaja bergantung kepada platform tetapi turut dipengaruhi disiplin serta sokongan berterusan.

“Untuk berjaya, atlet perlu pentingkan disiplin dan latihan konsisten. Peranan ibu bapa juga penting untuk memberi sokongan agar anak-anak dapat mencapai kejayaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Kana berharap liputan SUKMA dapat dipertingkatkan dengan kemas kini harian di media sosial bagi memberi pendedahan lebih meluas kepada atlet.
Syarudib Yunos, 47, pula melihat SUKMA sebagai platform terbaik memperkembangkan pemain e-sukan yang kini semakin berkembang di peringkat antarabangsa.
“e-sukan ini patut diperluaskan, di peringkat antarabangsa juga sudah ada pemain tersendiri jadi tidak salah untuk melibatkan e-sukan lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penglibatan e-sukan dalam SUKMA memerlukan perancangan rapi bagi memastikan pelaksanaan yang menyeluruh dan berkesan.
Selangor akan menjadi tuan rumah SUKMA edisi ke-22 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan majlis pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang manakala Para SUKMA pula akan diadakan dari 5 hingga 10 September 2026.
Sebanyak 474 acara akan dipertandingkan melibatkan 37 jenis sukan termasuk 10 jenis sukan bagi Para SUKMA iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.








