Sindiket seludup migran tumpas, polis tahan 22 pendatang tanpa izin

8 Feb 2026, 2:19 PM
Sindiket seludup migran tumpas, polis tahan 22 pendatang tanpa izin

SEREMBAN, 8 FEB: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran dalam serbuan di sebuah rumah penampungan di Taman Bukit Kepayang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata dalam serbuan pada 11.30 malam oleh pasukan daripada Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras itu, sebanyak 22 individu warga Indonesia berusia antara 19 hingga 46 tahun turut ditahan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kediaman berkenaan dijadikan rumah transit bagi pendatang tanpa izin yang menunggu masa untuk diseludup keluar dari Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki dan dua wanita. Tangkapan melibatkan tekong darat, penjaga atau pengurus rumah penampungan serta migran yang cuba keluar dari negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai aset disyaki digunakan bagi aktiviti jenayah itu termasuk dua kereta jenis Volkswagen Tiguan dan Honda City, tujuh telefon bimbit, sejumlah kunci premis serta alat kawalan jauh.

Azahar berkata siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah menyewa rumah itu dengan kadar RM800 sebulan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum menjadikannya sebagai pusat transit sementara menunggu koordinasi untuk pendatang tanpa izin pulang ke negara asal melalui laluan haram.

Kesemua yang ditahan kini direman selama 28 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619