NASIONAL

PDRM lumpuhkan rangkaian seludup migran Sri Lanka ke Eropah

8 Jun 2019, 8:55 AM
PDRM lumpuhkan rangkaian seludup migran Sri Lanka ke Eropah

 

KUALA LUMPUR, 8 Jun : Polis melumpuhkan satu sindiket penyeludupan migran Sri Lanka ke Eropah, yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit apabila menahan 11 individu dalam operasi di tiga lokasi di negara ini.

Mereka yang ditahan dalam operasi polis di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) padang Besar, Perlis, sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur pada 27 Mei itu terdiri daripada tiga rakyat tempatan dan lapan warganegara Sri Lanka.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, sindiket yang mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, Malaysia dan Eropah itu telah beroperasi sejak pertengahan tahun lepas.

Tangkapan dibuat ketika anggota sindiket sedang menguruskan penyeludupan seorang kanak-kanak lelaki Sri Lanka menggunakan dokumen perjalanan Malaysia melalui sempadan Padang Besar, Perlis ke Thailand dan seterusnya ke Eropah.

“Rakyat Malaysia yang ditahan itu terdiri daripada seorang fasilitator dan dua eskot dan mereka dipercayai terlibat dalam menguruskan penyeludupan keluar warganegara Sri Lanka menggunakan dokumen perjalanan Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sindiket turut melindungi dan menyembunyikan migran Sri Lanka di sekitar Kuala Lumpur bagi tujuan penyeludupan keluar ke negara ketiga.

Ketiga-tiga rakyat Malaysia yang ditahan itu disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala lapan rakyat Sri Lanka terbabit ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Usaha mengesan dan membanteras rangkaian sindiket penyeludupan migran akan terus dipertingkatkan oleh polis dalam memastikan aktiviti penyeludupan migran dapat dihapuskan,” katanya. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619