AGENDA

Sindiket seludup migran didalangi warga Kemboja tumpas

18 Okt 2022, 10:38 AM
Sindiket seludup migran didalangi warga Kemboja tumpas

PUTRAJAYA, 18 OKT: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan migran yang didalangi lelaki warga Kemboja dalam operasi khas di Terminal Bas Shah Alam, Ahad lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dalam operasi itu lelaki berusia 47 tahun itu ditahan bersama dua lelaki dan tiga wanita warga Myanmar berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun, sejurus keluar dari terminal bas itu pada 7 petang.

“Semakan mendapati kesemua warga Myanmar itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan hasil soal siasat mendapati mereka baru tiba di negara ini pada Sabtu lepas (15 Okt) melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Mereka dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek warga Kemboja yang dipercayai bertindak sebagai ejen penyeludupan itu didapati masuk ke negara ini Julai lepas dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

Khairul Dzaimee berkata sindiket itu dikesan mula beroperasi sejak pintu sempadan negara dibuka semula April lepas dengan mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,600 bagi setiap pendatang tanpa izin.

Katanya kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya dan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619