AGENDA

Penceramah disiasat dakwaan sebar video seks isteri, tipu duit, aduan umrah

6 Jul 2025, 4:18 AM
Penceramah disiasat dakwaan sebar video seks isteri, tipu duit, aduan umrah

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seorang penceramah bebas menjadi perhatian selepas berdepan pelbagai dakwaan membabitkan penyebaran video seks isterinya, penipuan wang dan aduan daripada mutawif umrah.

Lelaki berusia 39 tahun itu, yang aktif menyampaikan dakwah di media sosial serta sebagai penceramah jemputan, kini dipercayai berada dalam pemantauan dan siasatan pihak berkuasa.

Media Selangor memberikan gambaran ringkas mengenai laporan yang kami ketahui setakat ini, berkaitan kesalahan dan jenayah yang dilakukan penceramah bebas berkenaan.

Penipuan wang

Seorang wanita berusia 41 tahun membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, mendakwa menyerahkan wang RM60,000 kepada individu berkenaan selepas menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp berhubung permintaan kononnya untuk menyelesaikan urusan pengurusan jemaah umrah.Mangsa memaklumkan wang itu dimasukkan ke akaun bank milik sebuah syarikat yang dikaitkan dengan sekolah agama berkenaan.

Sementara itu, wanita berusia 39 tahun pula membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam, berhubung tiga transaksi wang berjumlah RM60,000 yang didakwa dipinjam individu sama antara Ogos hingga September 2020.

Mangsa mendakwa wang itu dipinjamkan kepada individu sama atas alasan membantu urusan pembangunan sekolah agama milik individu berkenaan, termasuk kos pentadbiran dan penyelenggaraan.

Wanita terbabit mendakwa mengenali individu itu melalui ceramah agama secara langsung di media sosial dan pernah hadir ke beberapa sesi ceramah anjuran sekolah berkenaan.

Laporan ketiga dibuat di Balai Polis Wangsa Maju oleh seorang wanita berusia 44 tahun yang mendakwa menyerahkan sejumlah wang berperingkat berjumlah RM80,000 kepada individu terbabit sebagai ‘pelaburan’ untuk membeli sekolah agama sama.

Pengadu turut memaklumkan bayaran tambahan diminta beberapa kali dengan pelbagai alasan, termasuk mendakwa pelaburan ditangguh dan perlu diselesaikan semula.

Aduan mutawif

Pada Mei tahun lalu, seorang mutawif bernama Mahmood Sa-ah mendakwa dipenjarakan empat minggu di Arab Saudi selepas suspek gagal melunaskan hutang hotel di Mekah. Akibat kejadian itu, beliau kehilangan kerja dan membuat laporan polis sebaik tiba di tanah air.

Sebar video seks

Isteri kedua penceramah berkenaan membuat laporan polis mendakwa suaminya menyebarkan video seks yang melibatkan dirinya dan tiga lagi wanita dipercayai isteri-isteri sah suspek. Rakaman itu dikatakan tular dan memalukan.

Tindakan pihak berkuasa

Difahamkan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menarik kembali pentauliahan motivasi yang diperoleh penceramah bebas terbabit dan Jais turut mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Lelaki berkenaan telah ditahan reman selama empat hari bermula 2 Julai lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 509 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Beliau kini dibebaskan dengan jaminan pihak polis, bermula semalam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619