Tanah runtuh Bandung: Pasukan SAR perhebat usaha kesan 80 mangsa dikhuatiri hilang

25 Jan 2026, 8:30 AM
Tanah runtuh Bandung: Pasukan SAR perhebat usaha kesan 80 mangsa dikhuatiri hilang

JAKARTA, 25 JAN: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia memperhebat usaha pada Ahad untuk mengesan 80 individu yang dilaporkan hilang susulan kejadian tanah runtuh yang melanda Kampung Pasir Langu di Bandung Barat, Jawa Barat, pada Sabtu.

Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari berkata jumlah sebenar mangsa yang hilang masih belum dapat disahkan.

Setakat 7 malam Sabtu, beliau berkata kejadian itu telah meragut sembilan nyawa, dengan lima daripadanya sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

“Baki empat lagi mangsa masih dalam proses pengecaman. Pasukan SAR juga menemukan dua bahagian tubuh manusia yang turut dalam proses pengenalpastian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kementerian Luar Malaysia pada Ahad mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam kejadian itu, sambil menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau insiden itu secara dekat.

Tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan berintensiti tinggi itu berlaku kira-kira 2.30 pagi Sabtu, melanda beberapa kawasan kediaman dan menimbus lebih 30 buah rumah.

“Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan runtuhan susulan, seramai 230 penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terjejas telah dipindahkan ke lokasi lebih selamat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Muhari berkata banjir di Subang, Jawa Barat telah menenggelamkan 3,355 rumah di 21 kampung sejak 22 Jan lepas, menjejaskan 9,491 penduduk termasuk 957 orang dipindahkan, dengan banjir masih belum surut setakat Sabtu.

Menurut beliau, situasi sama turut berlaku di Majalengka yang menjejaskan 318 keluarga.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada kerana hujan sederhana hingga lebat diramal berlaku seluruh Indonesia khususnya di Aceh, Bengkulu, Lampung, Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Nusa Tenggara Timur, Kalimantan Tengah, Sulawesi, Maluku Utara, Papua Tengah dan Papua.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619