Tanah runtuh di Bandung Barat, angka korban meningkat 16 orang

25 Jan 2026, 2:22 PM
Tanah runtuh di Bandung Barat, angka korban meningkat 16 orang

JAKARTA, 25 JAN: Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat meningkat kepada 16 orang, dengan sembilan mangsa berjaya dikenal pasti setakat ini.

Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Barat, Hendra Rochmawan berkata sehingga pukul 12 tengah hari waktu tempatan hari ini, empat lagi mayat ditemukan, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dibawa ke pos koordinasi Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) seramai 16 orang.

"Daripada jumlah yang ditemukan, sembilan telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing semalam," katanya seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita ANTARA pada Ahad.

Kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat itu melanda Kampung Pasirlangu kira-kira pukul 2.30 pagi Sabtu, sehingga menimbus beberapa kawasan perumahan.

Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka melawat lokasi kejadian pada pagi Ahad dengan diiringi Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto dan Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Mohammad Syafii.

Suharyanto dalam satu kenyataan berkata berdasarkan data awal, seramai 232 penduduk yang dipindahkan kini berada di pusat perlindungan sementara.

Pihak berkuasa telah menyediakan tiga skim untuk penduduk yang terjejas, termasuk pusat perlindungan sementara, Dana Tunggu Hunian (DTH) dan penempatan semula ke kawasan yang lebih selamat, katanya.

"Komuniti yang tidak terjejas secara langsung tetapi berada di lokasi yang berisiko turut akan diambil tindakan susulan. Walaupun mereka tidak terkesan oleh tanah runtuh kali ini, mereka tetap perlu dipindahkan," katanya.

Sementara itu, Mohammad Syafii berkata lebih 250 anggota yang dilengkapi peralatan khas telah dikerahkan bagi mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619