Sidang Asean jadi medan Malaysia suarakan isu Palestin kepada Trump

3 Okt 2025, 1:06 AM
Sidang Asean jadi medan Malaysia suarakan isu Palestin kepada Trump
Sidang Asean jadi medan Malaysia suarakan isu Palestin kepada Trump

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 pada bulan ini tidak bermaksud Malaysia berkompromi atau melupakan perjuangan rakyat Palestin.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata lawatan itu sebaliknya membuka peluang penting untuk Malaysia menggunakan platform Asean bagi menyampaikan mesej kepada Trump secara bersemuka tanpa berselindung.

"Malaysia percaya, pendirian yang tegas dan konsisten di pentas antarabangsa adalah bukti bahawa isu Palestin tidak pernah luput daripada keutamaan kita.

"Selagi kezaliman berlaku, selagi itu Malaysia akan bersuara lantang di hadapan mana-mana kuasa besar sekalipun," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata Malaysia akan terus menegaskan pendirian jelas menolak sebarang bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin dan menyokong penuh hak mereka untuk merdeka dan berdaulat.

"Kehadiran Presiden Donald Trump ke Malaysia bukanlah atas jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia atau rakyat Malaysia. Kehadiran beliau kerana tanggungjawab rasmi Malaysia sebagai Pengerusi Asean," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata Malaysia akan menggunakan kunjungan Trump sebagai platform diplomasi untuk terus menyuarakan isu Palestin dengan tegas dalam mempertahankan kebenaran namun dengan pendekatan berstrategi.

Selain Trump, beberapa pemimpin dunia termasuk dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 itu, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619