Palestin kecam keputusan Israel isytihar tanah Tebing Barat sebagai harta kerajaan

16 Feb 2026, 12:57 AM
Palestin kecam keputusan Israel isytihar tanah Tebing Barat sebagai harta kerajaan

RAMALLAH, 16 FEB: Kepresidenan Palestin memberi amaran mengenai kesan buruk daripada keputusan kerajaan Israel yang membolehkannya mengisytiharkan tanah di Tebing Barat yang diduduki sebagai harta kerajaan, sambil menyifatkan langkah itu sebagai peningkatan ketegangan yang serius dan pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Dalam satu kenyataan, Kepresidenan Palestin berkata keputusan mengklasifikasikan tanah Tebing Barat sebagai tanah kerajaan di bawah pihak berkuasa Israel merupakan ancaman langsung terhadap keselamatan dan kestabilan.

Ia menegaskan bahawa langkah itu bersamaan dengan pengilhakan secara de facto ke atas wilayah Palestin yang diduduki serta menandakan bermulanya pelaksanaan pelan pengilhakan yang bertujuan mengukuhkan pendudukan menerusi peluasan penempatan haram.

Kepresidenan Palestin menyatakan bahawa langkah berkenaan secara berkesan membatalkan perjanjian yang telah ditandatangani dan jelas bercanggah dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Resolusi 2334 yang menegaskan bahawa semua aktiviti penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, tidak mempunyai kesahan undang-undang dan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, langkah unilateral berkenaan tidak akan memberikan sebarang legitimasi kepada pendudukan Israel ke atas tanah Negara Palestin dan tidak akan mengubah status undang-undang serta sejarah bahawa Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza merupakan wilayah Palestin yang diduduki di bawah undang-undang antarabangsa.

Kepresidenan Palestin menyeru masyarakat antarabangsa – terutamanya Majlis Keselamatan PBB dan pentadbiran Amerika Syarikat – supaya campur tangan segera bagi menghentikan tindakan Israel serta memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi antarabangsa berkaitan bagi meredakan ketegangan dan memulihkan kestabilan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619