Tentera Israel lancar serangan udara, artileri di Gaza

22 Feb 2026, 12:06 PM
Tentera Israel lancar serangan udara, artileri di Gaza

BANDARAYA GAZA, 22 FEB: Tentera Israel melancarkan serangan udara dan bedilan artileri di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza pada awal Ahad, meskipun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut saksi kepada Anadolu, pesawat pejuang Israel menyasarkan kawasan timur bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

Kenderaan tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah kawasan timur Khan Younis di selatan, manakala tentera laut pula melepaskan tembakan ke arah pesisir pantai bandar itu.

Di Bandaraya Gaza, saksi melaporkan pesawat pejuang Israel melakukan serangan udara di kawasan timur, disusuli bedilan artileri secara rawak di lokasi yang sama.

Gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat telah dilaksanakan di Gaza sejak 10 Okt, sekali gus menghentikan serangan dua tahun Israel yang telah mengorbankan lebih 72,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.

Bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, tentera Israel telah melakukan ratusan pelanggaran melalui bedilan dan tembakan yang meragut 612 nyawa rakyat Palestin serta mencederakan 1,640 yang lain sepanjang tempoh gencatan senjata itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619