Oleh Angelo Taj
Ilustrasi Muizzah
nak, tahun ini tiada baju lebaran
kita terpaksa berjimat
ketika orang lain gembira
kita sambut Aidilfitri
dengan kos bahan mentah makin tinggi
di meja makan, tiada ketupat dan kuah kacang
hanya roti dan kuah kari semalam
di meja tamu, tiada kuih dan biskut dihidang
melainkan lembar surat khabar
yang masih basah dengan konspirasi petrodollar
tahun ini ibumu tidak menjahit
kerana harga kain dan benang adalah kenangan
terlalu banyak kafan yang tak dikenal
siapa jenazahnya
kita atau Palestina, Palestina atau marhaen ibu kota
nak, tahun ini Lailatul Qadr kita
sefakir hamba yang diperangi
dengan iman sebilah jarum
yang dikata senjata pemusnah
berdirilah engkau sebagaimana Al- Aqsa menopang kaki
kerana Dia lebih tahu, siapa berbuka di syurga para nabi.








