AGENDA

PAKATAN bimbang sekatan eksport negara EU jejas pembelian vaksin

2 Feb 2021, 6:05 AM
PAKATAN bimbang sekatan eksport negara EU jejas pembelian vaksin

SHAH ALAM, 2 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa kesatuan eropah (EU) menghormati hak negara membangun untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19.

Pasukan petugas imunisasinya berkata negara pengeluar vaksin perlu mematuhi kontrak ditandatangani negara lain dan tidak mengenakan sekatan eksport.

Menurut pasukan itu, semua pihak perlu bekerjasama menyelesaikan isu kekurangan vaksin dalam semangat kemanusiaan, kesaksamaan peluang dan menghormati perjanjian.

"Kami risau keputusan terbaru EU mengenakan sekatan eksport terhadap vaksin yang dihasilkan negara tersebut selain kemungkinan lahirnya semangat nasionalisme vaksin," kata pasukan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching) dan Dr Hatta Ramli (Lumut).

Ia turut dianggotai Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Norlela Ariffin (EXCO Kesihatan Pulau Pinang), Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO Kesihatan Selangor) dan S Veerapan (EXCO Kesihatan Negeri Sembilan).

Pasukan itu turut menggesa kerajaan untuk menjelaskan status dan kesan sekatan terhadap Program Vaksinasi Kebangsaan bagi Covid-19 memandangkan Malaysia tidak termasuk dalam senarai sekatan.

Jelasnya, hal itu membimbangkan berikutan negara dijangka menerima 144,000 dos vaksin Pfizer bulan ini dan 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca seawal April.

"Faktor ini mungkin menyebabkan kelewatan program suntikan vaksin, justeru kerajaan perlu jelaskan perancangan untuk mengatasi cabaran ini serta pelan alternatif bagi mengawal jangkitan.

"Bagaimana kelewatan ini akan memberi kesan kepada komitmen kewangan kita kepada syarikat farmaseutikal? Apakah jangka masa kerajaan dengan perkembangan terbaru ini?" soal pasukan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619