AGENDA

PAKATAN mahu penjelasan Ahmad Maslan bebas tuduhan dana 1MDB

2 Okt 2021, 4:04 AM
PAKATAN mahu penjelasan Ahmad Maslan bebas tuduhan dana 1MDB

SHAH ALAM, 2 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa peguam negara menjelaskan pembebasan ahli parlimen penyokong kerajaan berkait tuduhan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Merujuk kes Datuk Seri Ahmad Maslan, majlis presiden gabungan itu mempersoal sama ada keputusan mendakwa atau menarik pendakwaan terletak pada tangan peguam negara.

"Peguam negara juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi tatacara operasi piawai (SOP) baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.

"Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada "barang kes" tersebut?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis presiden juga kesal sikap tidak acuh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengiakan trend kes mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi mutakhir ini.

Mereka mempersoal sama ada suruhanjaya itu memberi penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan membayar balik wang sogokan yang dirampas membabitkan ahli politik penyokong kerajaan.

"Demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum, trend baharu peguam negara dan SPRM jelas melanggari prinsip keadilan yang bukan sahaja mesti dilakukan tetapi mesti disaksi.

"Tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki agar suruhanjaya mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai," kata majlis presiden.

Pada 29 September, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.

Keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad bersetuju kesnya dikompaun RM1.1 juta.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619