AGENDA

Ingkar PKP: 24 penuntut kolej ditahan ketika main bola sepak

1 Apr 2020, 3:07 PM
Ingkar PKP: 24 penuntut kolej ditahan ketika main bola sepak

GEORGE TOWN, 1 APRIL: Sejumlah 24 penuntut sebuah kolej di sini ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain bola sepak di padang kolej itu di Jalan Cengai, Tanjung Bungah semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata kesemua penuntut terbabit ditahan sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian pada 7.14 malam selepas menerima aduan daripada orang awam.

"Ketika tiba di lokasi, pintu pagar berkunci dan ia dibuka 15 minit kemudian. Pemeriksaan polis mendapati kesemua mereka yang sedang bermain bola di padang itu adalah warganegara tempatan dan penuntut yang tinggal di asrama kolej tersebut," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua penuntut berusia lingkungan 20-an itu ditahan kerana melanggar PKP dan disyaki dengan cuai melakukan perbuatan yang boleh merebakkan jangkitan penyakit berbahaya.

"Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kami sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619