AGENDA

Jawatankuasa proses digitalisasi pentadbiran Islam diumum akhir tahun

29 Jul 2019, 2:18 PM
Jawatankuasa proses digitalisasi pentadbiran Islam diumum akhir tahun

PUTRAJAYA, 29 JUL: Penubuhan satu jawatankuasa khas akan diumumkan sebelum akhir tahun ini bagi memulakan proses pendigitalisasi pentadbiran Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa pakar yang relevan dalam hal berkaitan digitalisasi sebelum nama mereka yang menganggotai jawatankuasa itu diumumkan.

Katanya, bagi tujuan itu pihaknya sedang berhubung dengan beberapa entiti seperti Telekom Malaysia, PayHalal dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) yang mempunyai kemahiran mengenai konsep berkenaan.

Beliau berkata, proses pendigitalan itu melibatkan semua agensi yang menguruskan hal berkaitan agama Islam dibawah kendaliannya termasuk haji dan zakat.

"Kita harap proses digitalisasi itu boleh bermula sepenuhnya awal tahun depan dengan langkah pertama iaitu pembudayaan teknologi kepada pihak yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Halal Fiesta Malaysia (Halfest Jakim) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata, beliau bersedia mengemukakan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib sekiranya siasatan polis mendapati ada unsur fitnah berlaku.

Setiausaha Akhbar menteri itu, Siti Zulaikha Zulkifli hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya terhadap Mohd Khusairi serta laman Facebook yang menggunakan nama MyNewsHub kerana memuat naik poster kenyataan fitnah yang melibatkan Mujahid di media sosial.

Laporan polis itu dibuat ekoran penyalahgunaan gambar dan nama Mujahid di poster yang bertulis, “Wendy Loong hina nabi adalah kes terpencil.. Orang Islam jangan terasa hati.. Mujahid”. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619