AGENDA

Cari titik persamaan agar Malaysia jadi negara Islam contoh

9 Nov 2019, 3:42 AM
Cari titik persamaan agar Malaysia jadi negara Islam contoh

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Ummah seharusnya mencari titik persamaan agar Malaysia menjadi sebuah negara Islam contoh yang menjunjung erti kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyatnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, ummah perlu berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat iaitu menuju ke arah kebaikan, kemajuan dan pembangunan seimbang yang menatijahkan ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur’ (negara yang baik dan diampuni Tuhan).

“Semoga dengan penghayatan konsep Rahmatan Lil Alamin oleh setiap individu Muslim, Malaysia dapat menjadi model negara Islam terunggul dan mencipta kegemilangan dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul bertemakan ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, dalam kerangka Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, pendekatan bagaimana kerahmatan Islam itu dapat dijelmakan dalam membina dan membentuk sebuah negara Rahmah perlu dirangka.

“Prinsip Maqasid Syariah yang memberi penekanan dalam aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu dipraktikkan dan dijadikan sebagai cara kita berfikir demi memelihara dan mempertahankan kemakmuran negara,” katanya.

Jelasnya, model negara Madinah hendaklah dijadikan contoh yang mana penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, serta keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam ketika itu, telah menatijahkan sebuah negara yang kuat, aman dan harmoni serta bersatu padu dalam kepelbagaian kaum dan agama.

Seramai 8,000 peserta daripada 100 pasukan yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform dan penuntut institut pengajian tinggi dan pelajar sekolah menyertai perarakan yang bermula 7.45 pagi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619