AGENDA

Mujahid: Ibu bapa perlu prihatin pilih pusat tahfiz

9 Nov 2019, 7:05 AM
Mujahid: Ibu bapa perlu prihatin pilih pusat tahfiz

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta ibu bapa untuk lebih prihatin dalam memilih pusat tahfiz supaya anak mereka tidak menjadi mangsa kejadian tidak diingini.

Beliau berkata ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab memastikan pusat tahfiz yang dipilih adalah berdaftar dan ia perkara paling utama yang perlu difikirkan.

"Pendaftaran sangat penting, ibu bapa yang hantar anak-anak perlu prihatin. Tindakan drastik yang utama perlu dilakukan ialah kesedaran ibu bapa. Bila berdaftar (pusat tahfiz), kita ada kawalan terhadap pusat itu, boleh tahu apa yang diajar, tahu siapa tenaga pengajar dan boleh tahu bagaimana dia kendalikan tahfiz itu.

"Itu pilihan ibu bapa. Tapi pilihan yang macam mana, adakah sekadar tempat buangan kemudian tinggalkan… akhirnya tahfiz tidak menjadi institusi yang dihormati," katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Beliau berkata tidak semua tahfiz mempunyai rekod yang buruk dan ibu bapa perlu menitikberatkan hal kebajikan, keselamatan dan ko-kurikulum yang disediakan tahfiz.

"Kita ada model-model tahfiz yang bagus,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar, maut dengan kesan lebam pada badannya.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang, Temerloh, Pahang.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619