Selangor lancar portal SAGE, rakyat boleh pantau, lihat perkembangan projek

29 Apr 2026, 8:31 AM
Selangor lancar portal SAGE, rakyat boleh pantau, lihat perkembangan projek

SHAH ALAM, 29 APRIL: Selangor melancarkan laman sesawang Agenda Ekonomi Hijau Selangor 2025–2035 (SAGE) bagi memudahkan akses serta meningkatkan ketelusan kepada semua pihak bermula hari ini.

EXCO Infrastruktur, Dato' Ir Izham Hashim berkata platform tersebut berfungsi sebagai papan pemuka bagi projek bekalan tenaga di negeri ini selaras dengan Pelan Guna Ubah Tenaga Baharu (NETR).

Menurutnya, SAGE merangkumi pelbagai projek utama termasuk Stesen Jana Tenaga Pulau Indah (PIPP), projek sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung 12, Kuala Langat.

Selain itu katanya, platform tersebut turut memaparkan perancangan Kerajaan Negeri untuk membina stesen janakuasa hidrogen serta loji nuklear.

"Laman sesawang ini juga merupakan usaha berterusan daripada Kerajaan Negeri dalam menyediakan satu ruang atau platform yang telus untuk memberi peluang kepada orang ramai memantau dan melihat perkembangan projek di Selangor.

"Platform ini juga bukan sekadar alat ketelusan, tetapi ia merupakan isyarat jelas kepada pelabur, agensi persekutuan dan rakan strategik bahawa Selangor mempunyai ‘pipeline’ projek yang tersusun, boleh dipantau dan bersedia menerima pelaburan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berkenaan Pengumuman Rasmi Laman Sesawang SAGE di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menurut Ir Izham, pelancaran SAGE juga menjadi mekanisme yang menterjemahkan potensi RM63 bilion kepada pelaburan sebenar yang boleh dijejak serta memberi impak kepada komuniti, industri dan infrastruktur Selangor.

Beliau berkata SAGE dilaksanakan sebagai pendekatan keseluruhan kerajaan melalui tiga portfolio iaitu penjanaan dan infrastruktur tenaga; ekonomi kitaran dan kecekapan tenaga; serta mobiliti hijau.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang SAGE menerusi www.selangor.gov.my/sage.

Platform itu dibangunkan di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama anak syarikat Kerajaan Negeri, Worldwide Holdings Berhad.

SAGE adalah pelan menyeluruh yang meliputi tenaga haba, tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan teknologi baharu seperti hidrogen, dengan sasaran menarik pelaburan melebihi RM63 bilion menjelang 2035.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619