SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan Selangor membelanjakan kira-kira RM800 juta bagi menggantikan paip sepanjang 285 kilometer (km) tahun lalu sebagai langkah mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata kadar NRW berjaya diturunkan kepada 27 peratus berbanding sekitar 34 peratus pada 2017 hingga 2018.
Menurutnya, usaha penggantian paip akan diteruskan tahun ini dengan sasaran tambahan sepanjang 300 kilometer.
Beliau turut menjelaskan kos bagi mengurangkan kadar NRW adalah tinggi, mencecah kira-kira RM300 juta bagi setiap satu peratus penurunan.
“NRW bukan satu perkara yang mudah ditangani kerana kos untuk penggantian (tinggi). Tetapi, jangan ingat penggantian paip boleh mengurangkannya, banyak lagi perkara-perkara lain, tangki, menara tangki, injap dan banyak alat dan komponen lain serta isu kecurian yang perlu diteliti.
“Sebab itu menyebabkan ramai yang tidak berminat dan lebih rela membina loji rawatan air baharu di Selangor. Bukan masalah (penggantian) paip, termasuk juga pemasangan sebab kita perlukan tutup jalan terutama di kawasan padat,” katanya.
Beliau berkata demikian berkenaan Pengumuman Rasmi Laman Sesawang Agenda Ekonomi Hijau Selangor (SAGE) di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Ir Izham berkata Kerajaan Negeri menyasarkan kadar NRW di Selangor dapat dikurangkan kepada bawah 20 peratus menerusi pelan penurunan kira-kira satu peratus setiap tahun.
“Setiap tahun kita berjaya menurunkan kadar NRW, kini sekitar 27 peratus di Selangor. Namun, semakin rendah kadarnya, semakin tinggi kos diperlukan, yang boleh mencecah RM400 hingga RM500 juta.
“Jangan anggap penurunan satu peratus itu kecil kerana ia melibatkan kira-kira 6,500 juta liter air,” ujarnya.
Baru-baru ini, media melaporkan Malaysia dianggarkan menanggung kerugian melebihi RM4 bilion akibat kadar NRW sebanyak 33.4 peratus di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2008, iaitu sekitar RM1.4 bilion, berpunca daripada air terawat yang tidak memberi pulangan kepada negara.








