Kerajaan Negeri peruntuk RM2.11 bilion untuk 134 projek tebatan banjir

28 Apr 2026, 11:02 AM
Kerajaan Negeri peruntuk RM2.11 bilion untuk 134 projek tebatan banjir

SHAH ALAM, 28 APRIL: Selangor memperuntukkan RM5.74 bilion bagi 134 projek tebatan banjir antara 2021 hingga 2030, dengan kemajuan ketara sudah dicapai, kata EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Izham Hashim.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM2.11 bilion disumbang kerajaan negeri bagi 108 projek, manakala RM3.63 bilion lagi daripada kerajaan Persekutuan bagi 26 projek.

“Daripada keseluruhan projek, 47 telah siap dengan nilai kira-kira RM791 juta, manakala 44 lagi sedang dalam pembinaan. Sebanyak 24 projek di peringkat reka bentuk terperinci, 38 dalam perancangan dan 16 belum bermula.

“Selain itu, 19 projek lagi dijangka siap menjelang hujung tahun ini,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Izham berkata Kerajaan Negeri melaksanakan strategi tiga peringkat iaitu projek segera (quick-win), projek jangka sederhana yang mengambil masa satu hingga satu setengah tahun, serta projek jangka panjang melibatkan lembangan sungai yang boleh mengambil masa hingga lima tahun.

Menurutnya, sebanyak 149 projek quick-win telah siap dengan kos RM57 juta, sekali gus membantu mengurangkan kesan banjir di kawasan berisiko.

Beliau menjelaskan projek tebatan banjir memerlukan masa panjang kerana melibatkan kajian teknikal seperti hidrologi dan hidraulik, proses pengambilan tanah serta prosedur perolehan.

Walaupun berdepan cabaran, Selangor mencatat penurunan kawasan hotspot banjir daripada 97 lokasi pada 2022 kepada 56 lokasi pada 2025. Kawasan berisiko banjir juga berkurang daripada 390 kepada 232 lokasi dalam tempoh sama.

“Kerajaan Negeri turut memperkukuh pelaksanaan melalui kerjasama rapat antara agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan serta operator pembetungan, selain penguatkuasaan sistem takungan di tapak (OSD) dalam pembangunan baharu,” katanya.

Tambahnya, Selangor juga menggunakan teknologi antarabangsa seperti kepakaran pengurusan air dari Belanda, sistem EcoBlock dari Jerman untuk simpanan air serta teknologi SPS dari Indonesia bagi menstabilkan infrastruktur.

Beliau berkata perubahan iklim turut meningkatkan risiko banjir, termasuk hujan lebat dalam tempoh singkat di kawasan bandar, perubahan corak hujan dan kenaikan paras laut.

Antara projek utama ialah Projek RTB Sungai Pulai Fasa 2 bernilai RM870 juta yang melibatkan kerja mendalamkan sungai, mengukuhkan tebing dan langkah tebatan berskala besar.

Bagi meningkatkan pemantauan, Kerajaan Negeri turut membangunkan sistem papan pemuka digital untuk menjejak projek tebatan banjir, infrastruktur, air dan ekonomi hijau secara masa nyata.

Izham menegaskan pendekatan pengurusan banjir Selangor adalah sebahagian daripada strategi pengurusan air bersepadu bagi memastikan keselamatan bekalan air dan daya tahan terhadap perubahan iklim dalam jangka panjang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619