Pelan tenaga hijau Selangor sasar RM63 bilion pelaburan

28 Apr 2026, 4:41 AM
Pelan tenaga hijau Selangor sasar RM63 bilion pelaburan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Selangor mengambil langkah besar untuk membangunkan ekosistem hidrogen, mempercepat penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan menambah kemudahan pengecasan secara berperingkat dengan kerjasama industri supaya manfaat ekonomi dapat dirasai rakyat.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata usaha ini adalah sebahagian daripada Agenda Ekonomi Hijau Selangor 2025-2035 (SAGE), yang menetapkan hala tuju sektor tenaga sebagai pemacu ekonomi dan sumber hasil baharu negeri, selain mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

“Secara keseluruhan, usaha ini melibatkan peningkatan bekalan tenaga bersih, pengurangan penggunaan tenaga serta perubahan cara ekonomi dan penggunaan tenaga.

“Ia termasuk memperluas tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan sisa kepada tenaga (WTE), serta menaik taraf infrastruktur dan sistem grid bagi memastikan bekalan stabil dan mencukupi untuk industri serta pengguna.

“Selain itu, pembangunan ekosistem hidrogen turut dilaksanakan secara berperingkat termasuk cadangan mewujudkan hab hidrogen di Batang Kali yang merangkumi keseluruhan rantaian daripada pengeluaran hingga penggunaan, khususnya dalam sektor industri dan pengangkutan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menambah, SAGE adalah pelan menyeluruh yang meliputi tenaga haba, tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan teknologi baharu seperti hidrogen, dengan sasaran menarik pelaburan melebihi RM63 bilion menjelang 2035.

Usaha elektrifikasi pengangkutan juga diperkukuh melalui galakan penggunaan EV serta pembangunan infrastruktur pengecasan yang disokong dasar, pembiayaan hijau dan pembangunan kemahiran tenaga kerja.

“Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat dengan kerjasama rakan industri strategik serta membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk turut serta,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619