Tapir Malaya terancam, Selangor perkukuh koridor hidupan liar

28 Apr 2026, 12:10 AM
Tapir Malaya terancam, Selangor perkukuh koridor hidupan liar

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Selangor memperkukuh pembangunan dan penambahbaikan koridor hidupan liar sebagai langkah utama memastikan kelangsungan spesies tapir Malaya yang semakin terancam.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata usaha itu melibatkan pengekalan kesinambungan habitat semula jadi termasuk rangkaian Central Forest Spine (CFS), Rizab Hidupan Liar Sungai Dusun dan Hutan Simpan Hulu Selangor.

Menurutnya, kawasan tersebut dikenal pasti sebagai antara lokasi kritikal bagi spesies berkenaan untuk terus hidup dan berkembang.

“Sempena Hari Tapir Sedunia, Kerajaan Negeri menegaskan komitmen dalam memastikan kelangsungan spesies ikonik ini yang kini dikategorikan sebagai terancam. Meski tiada angka rasmi populasi liar di negeri ini, Selangor kekal antara kawasan kritikal bagi habitat semula jadi tapir.

“Justeru, pendekatan ini penting bagi memastikan pergerakan tapir tidak terganggu akibat pembangunan yang memisahkan habitat, sekali gus mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan,” katanya menerusi kenyataan.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri mengakui ancaman kematian akibat pelanggaran jalan raya kekal membimbangkan apabila 15 kes membabitkan tapir direkodkan sejak 2010.

Sehubungan itu, Jamaliah berkata pelbagai langkah mitigasi dilaksanakan termasuk pemasangan papan tanda dan lampu amaran di kawasan berisiko tinggi, selain mempergiat rondaan penguatkuasaan anti-pemburuan dan anti-jerat.

Selain itu katanya, usaha pengukuhan habitat turut dilaksana melalui program pengayaan sumber makanan bagi menyokong kelangsungan populasi spesies berkenaan.

“Selangor juga menyokong konservasi ex-situ menerusi Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun yang menjadi satu-satunya pusat pembiakan tapir secara separa liar di Malaysia.

“Sejak 2004, 22 kelahiran anak tapir direkodkan di pusat berkenaan dengan 16 daripadanya dilepaskan semula ke habitat semula jadi,” katanya.

Tambah beliau ketika ini, sembilan ekor tapir dipelihara di pusat itu bagi tujuan pembiakan, rawatan dan pemuliharaan termasuk seekor anak tapir dikenali sebagai ‘Bumi’ yang menjadi ikon kesedaran alam sekitar di Selangor.

Jelas Jamaliah, tapir memainkan peranan penting sebagai ‘forest gardener’ yang membantu penyebaran biji benih dan regenerasi hutan dan kehilangannya boleh menjejaskan keseimbangan ekologi secara keseluruhan.

“Justeru, orang ramai diseru memainkan peranan dalam melindungi spesies ini dengan meningkatkan kesedaran, mematuhi undang-undang serta melaporkan sebarang aktiviti yang mengancam hidupan liar,” katanya.

Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619