Kes tibi Selangor stabil, negeri tawar insentif hingga RM800

27 Apr 2026, 1:02 PM
Kes tibi Selangor stabil, negeri tawar insentif hingga RM800

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kadar kes tuberkulosis (tibi) di Selangor kekal stabil dengan kadar status jangkitan antara 61 hingga 80 kes bagi setiap 100,000 penduduk, maklum EXCO kesihatan awam.

Jamaliah Jamaluddin berkata Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sentiasa memantau perkembangan itu bagi memastikan langkah pencegahan, pengesanan awal serta rawatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

Menurutnya, sehingga 4 April, 1,222 kes tibi direkodkan di Selangor dengan lima daerah mencatat jumlah kes tertinggi iaitu Petaling (321 kes), diikuti Hulu Langat (302 kes), Gombak (199 kes), Klang (192 kes) dan Sepang (63 kes).

“Walaupun tibi agak trending, sebenarnya Selangor bukan negeri paling serius berkait tibi, saya mendapat makluman melihat kepada keadaan di seluruh negara, kita (Selangor) masih dalam keadaan stabil sebenarnya dengan status jangkitan 61 hingga 80 kes sahaja untuk 100,000 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurut Jamaliah bagi tahun ini, sehingga 31 Mac, seramai 190 pesakit telah menerima manfaat di bawah Insentif Rawatan Tibi Negeri Selangor.

“Di bawah inisiatif ini, pesakit tibi yang menjalani rawatan tibi secara berterusan sehingga pulih akan menerima insentif kewangan berjumlah sehingga RM800.

“Kerajaan Negeri akan terus membantu pesakit tibi untuk mendapatkan rawatan dengan meneruskan Insentif Rawatan Tibi Negeri Selangor pada 2026 dengan peruntukan keseluruhan RM1 juta,” katanya.

Menurutnya, Insentif Rawatan Tibi Negeri Selangor merupakan cadangan dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan JKNS yang memanfaatkan pesakit tibi.

“Sebenarnya insiatif rawatan tibi negeri Selangor juga merupakan cadangan dan kerjasama antara JKNS. Di negeri lain yang mungkin mempunyai kes lebih tinggi pun tidak mempunyai inisiatif sebegini berbanding Selangor,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619