Vaksin bukan punca autisme, ini penjelasan pakar

29 Apr 2026, 1:01 AM
Vaksin bukan punca autisme, ini penjelasan pakar
Vaksin bukan punca autisme, ini penjelasan pakar

SHAH ALAM, 29 APR: Dakwaan bahawa vaksin menyebabkan autisme terus menjadi antara mitos paling berleluasa dalam masyarakat, meskipun tidak pernah dibuktikan secara saintifik.

Psikologis Klinikal Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Faridah Hamimi Mohammad Nizam berkata kekeliruan itu timbul kerana masyarakat masih kurang memahami bahawa autisme ialah satu keadaan dalam spektrum perkembangan neurologi yang berbeza bagi setiap individu.

Menurutnya, antara mitos paling kerap didengari ialah dakwaan autisme berpunca daripada vaksin khususnya selepas pandemik COVID-19, apabila perubahan tingkah laku anak sering dikaitkan dengan suntikan tersebut.

“Autisme itu disebabkan vaksin terutama pasca COVID-19, banyak saya dengar ‘lepas vaksin, terus anak saya jadi lain’, tapi sebenarnya tiada sebarang kajian saintifik yang boleh membuktikan fakta ini. Jadi ini adalah satu mitos,” katanya dalam program Bicara Semasa bertajuk Autisme Dewasa: Realiti yang jarang dibincang terbitan Media Selangor.

Berdasarkan garis panduan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia, autisme ialah gangguan perkembangan neurologi yang menjejaskan fungsi otak sejak awal, dengan diagnosis dibuat secara klinikal.

Punca sebenar masih belum dikenal pasti dan dipercayai melibatkan pelbagai faktor, manakala intervensi awal penting bagi membantu individu menyesuaikan diri.

Wawancara Bicara Semasa bersama Psikologis Klinikal Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Faridah Hamimi Mohammad Nizam. Foto MOHD AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR

Selain itu, Faridah berkata tanggapan bahawa individu autisme tidak mempunyai perasaan juga tidak tepat.

Jelas Faridah, individu dalam spektrum autisme tetap mempunyai emosi, malah ada yang merasainya dengan lebih mendalam berbanding orang lain.

“Autisme mempunyai perasaan, kadang-kadang lebih daripada orang biasa sebab dia merasai semuanya secara dengan sangat mendalam. Dia bukannya masalah ketiadaan perasaan, tapi dia mungkin menghadapi kesukaran untuk tunjukkan dan sampaikan perasaan itu,” katanya.

Buka peluang, bina keyakinan

Beliau turut menepis persepsi bahawa individu autisme tidak mampu bekerja atau menjalani kehidupan normal.

Tegasnya ramai dalam kalangan mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing apabila diberikan sokongan dan persekitaran yang sesuai.

“Ada banyak individu autistik mempunyai kerjaya yang sangat hebat, boleh berfungsi seperti biasa dan ada kepakaran dalam bidang mereka sendiri,” katanya.

Pelbagai badan dan pertubuhan di Malaysia membantu individu autisme membina kerjaya melalui latihan kemahiran dan peluang pekerjaan, kebanyakannya diasaskan oleh pakar serta ibu bapa.

Antara inisiatif ialah program Pakar E-dagang Bertauliah (CES) oleh Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) yang memperkasakan belia autisme dalam bidang digital dan keusahawanan.

Selain itu, Autism Cafe Project di USJ Subang memberi peluang mereka bekerja di kafe, sekali gus membantu membina kemahiran, keyakinan diri serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme.

Dalam pada itu, Faridah turut menolak tanggapan bahawa individu autisme tidak boleh berkahwin juga disifatkan sebagai tidak benar.

Malah, beliau menegaskan autisme bukan penyakit yang perlu disembuhkan, sebaliknya ia adalah perbezaan cara otak berfungsi.

Menurutnya, intervensi seperti terapi lebih tertumpu kepada membantu individu mengurus cabaran harian dan menyesuaikan diri dengan persekitaran, bukan mengubah identiti mereka.

“Autisme bukan satu penyakit yang perlu disembuhkan, tapi ia adalah cara otak berfikir dan berfungsi yang berbeza. Intervensi atau terapi bukan untuk kita ubah dia jadi normal, tetapi lebih kepada mahu dia faham, terima dan cuba sesuaikan perlakuan mereka atau rutin yang sesuai dengan keadaan mereka,” katanya.

Selangor merekodkan 147,794 OKU setakat Oktober, termasuk 17,794 individu autisme.

Sebelum ini, Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor memaklumkan Selangor merekodkan 147,794 orang kurang upaya (OKU) setakat Oktober 2025, termasuk 54,667 OKU masalah pembelajaran dan 17,794 atau 32.5 peratus golongan autisme.

Selain itu, seramai 1,947 kanak-kanak autisme dan OKU menerima bantuan pendidikan daripada Lembaga Zakat Selangor tahun ini, bagi menyokong keperluan pembelajaran di bawah kategori asnaf fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619