SHAH ALAM, 28 APRIL: Autisme bukan hanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak, sebaliknya ramai individu dewasa hidup dengan keadaan itu tanpa disedari.
Psikologis Klinikal Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Faridah Hamimi Mohammad Nizam berkata autisme ialah gangguan perkembangan neurologi yang berterusan hingga ke alam dewasa.
Menurutnya, ada individu hanya menyedari mereka berada dalam spektrum autisme selepas dewasa, manakala sebahagian lagi tidak pernah didiagnosis kerana simptomnya sukar dikenal pasti.
Beliau menjelaskan keadaan itu sering disalah anggap sebagai masalah lain seperti kebimbangan atau keperibadian.
Katanya, autisme dewasa juga sukar dikesan kerana wujudnya fenomena ‘masking’ atau ‘camouflaging’, iaitu individu meniru tingkah laku sosial bagi menyesuaikan diri.
"Autisme ini kita panggil sebagai spektrum, di mana jenis-jenisnya sangat meluas. Boleh dikatakan tiada satu autisme dengan satu autisme yang lain mempunyai simptom yang sama.
"Dalam autisme dewasa ada istilah yang kita panggil masking atau camouflaging di mana dia boleh menutup atau menyorokkan simptom apabila dia sudah biasa beradaptasi dengan kehidupan seharian.
"Bila dewasa, lebih sukar untuk kita faham atau nampak kecuali diri sendiri yang rasa lebih terbeban dan lebih cepat penat dengan interaksi sosial atau interaksi dengan orang lain," katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Simptom sering diabaikan, risiko keletihan emosi meningkat
Menurut Faridah, antara tanda yang sering diabaikan termasuk kesukaran memahami isyarat sosial, keletihan selepas berinteraksi, kesukaran mengekalkan hubungan serta sensitiviti terhadap bunyi atau sentuhan.
Beliau berkata amalan ‘masking’ dalam jangka panjang boleh menyebabkan keletihan emosi dan tekanan berpanjangan.
Dalam sesetengah kes, katanya keadaan itu boleh membawa kepada keletihan melampau (burnout), keresahan dan kemurungan akibat tekanan sosial.
"Kajian menunjukkan kadar masalah kesihatan mental dalam kalangan individu autisme lebih tinggi berbanding populasi umum, khususnya melibatkan kebimbangan dan kemurungan.
"Jadi bila 'masking', dia kena sentiasa berjaga-jaga, kena sentiasa waspada, kena sentiasa jaga tingkah laku dalam interaksi sosial sebab nak nampak normal.
"Situasi sosial ini boleh mendatangkan high anxiety (kebimbangan melampau) dan mengundang kepada 'autistic burnout'," katanya.

Fahami keperluan individu, elak stigma masyarakat
Faridah menegaskan cabaran sebenar bukan terletak pada autisme itu sendiri, tetapi pada persekitaran yang tidak mesra dengan keperluan individu dalam spektrum tersebut.
"Perkara yang paling membantu jika ada individu autisme di sekeliling anda atau keluarga, hormati keperluan deria dan rutin mereka dan cuba untuk faham ada orang berfungsi secara berbeza.
"Ada yang tidak suka tempat ramai orang, bising atau sesak jadi elakkan untuk ke tempat yang macam ini, fahami kehendak dan keperluan sensori dan rutin mereka," katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak membuat penghakiman terhadap individu autisme berdasarkan tingkah laku mereka.
"Sangat penting untuk kita bersikap baik kepada orang lain sebab kita tidak tahu situasi mereka, mungkin autistik atau mungkin anxiety.
"Jadi jangan letak label atau penghakiman awal, itu sangat penting dan boleh membantu, terutama kepada mereka yang mempunyai simptom autisme," katanya.








