KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan status cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga bagi 10 kawasan melibatkan Perlis, Kedah dan Kelantan.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan kawasan yang terlibat ialah seluruh negeri Perlis manakala di Kedah melibatkan kawasan Pokok Sena, Padang Terap, Pendang dan Sik.
Bagi Kelantan, kawasan terlibat ialah Machang, Kuala Krai, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.
Menurut MetMalaysia, status Tahap 1 atau berjaga-jaga dikeluarkan apabila suhu maksimum harian di sesuatu kawasan mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi jabatan itu di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian di seluruh negara.










