SHAH ALAM, 9 APRIL: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini bukan fenomena luar biasa, sebaliknya berlaku setiap tahun.
Ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata keadaan panas kebiasaannya berlaku antara Februari hingga Jun, dengan suhu memuncak sekitar Mac hingga April setiap tahun.
Jelas Dr Mohd Hisham Mohd Anip, peningkatan suhu berpunca kekurangan awan hujan pada penghujung Monsun Timur Laut, sekali gus menyebabkan pancaran matahari terus ke permukaan bumi.
“Apabila tiada payung (awan), keadaan ini menyebabkan permukaan bumi menerima bahang matahari secara terus tanpa halangan, maka suhu akan meningkat lebih tinggi berbanding biasa.
“Rekod menunjukkan cuaca panas berlaku saban tahun. Cuma masyarakat sekarang cakna dengan keadaan semasa. Semua berkongsi menerusi media sosial dan viral, sedangkan cuaca panas ini berlaku saban tahun,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Mohd Hisham berkata secara purata suhu di Malaysia berada sekitar 32 hingga 34 darjah Celsius, namun dalam tempoh Februari hingga Jun, suhu boleh melebihi 35 darjah Celsius.
“Dalam keadaan tertentu, suhu boleh mencecah antara 37 hingga 38 darjah Celsius, khususnya ketika kedudukan matahari berada tegak di atas negara ini sekitar bulan Mac dan April,” katanya.
Beliau berkata negeri di utara Semenanjung seperti Perlis dan Kedah merekodkan suhu lebih tinggi berbanding kawasan lain.
Jelasnya, situasi itu dipengaruhi oleh kedudukan geografi yang berhampiran dengan daratan besar di rantau Indochina seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam, Myanmar yang mengalami cuaca lebih panas.
“Haba dari kawasan tersebut turut mempengaruhi suhu di utara Semenanjung, menyebabkan kawasan berkenaan lebih panas berbanding negeri lain.
“Cuma kita bernasib baik tahun ini tidak berlaku El Nino. Jika El Nino melanda dunia, suhu panas mungkin lebih kuat,” katanya.
Beliau turut menekankan peningkatan suhu global menyumbang kepada keadaan cuaca yang lebih panas, dengan rekod menunjukkan suhu di negara ini meningkat berbanding beberapa dekad lalu.
Sehubungan itu, masyarakat dinasihat lebih peka terhadap perubahan cuaca serta mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengurangkan aktiviti luar ketika suhu panas bagi mengurangkan risiko strok haba.
Semalam, lima negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Melaka dan Johor mengemukakan permohonan bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan susulan paras empangan yang semakin menyusut.









