Ribut petir terbentuk dalam tempoh singkat, sukar diramal - MetMalaysia

Ribut petir terbentuk dalam tempoh singkat, sukar diramal - MetMalaysia

SHAH ALAM, 9 APRIL: Fenomena berskala kecil seperti ribut petir menjadi cabaran utama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam meramal cuaca di negara ini.

Ketua pengarah MetMalaysia berkata ribut petir terbentuk dalam tempoh singkat serta berlaku secara setempat sekali gus menyukarkan ramalan dibuat lebih awal.

Jelas Dr Mohd Hisham Mohd Anip, ribut petir boleh terbentuk serta hilang dalam masa kira-kira satu jam sahaja, dan kesukaran meramal fenomena tersebut dihadapi oleh semua negara beriklim tropika.

“Kadang-kadang dalam radar ada menunjukkan satu dot… amat kecil tapi tetapi dengan satu dot inilah boleh berlaku hujan lebat, hujan batu dan banjir kilat.

“Ribut petir berbeza dengan cuaca berskala besar seperti monsun atau taufan. Ribut petir berlaku secara setempat dan sukar dijangka lebih awal, ini antara cabaran utama,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Beliau berkata cuaca berskala besar seperti taufan dan ribut tropika lebih mudah diramal kerana pergerakannya dapat dikesan beberapa hari lebih awal melalui data dan model cuaca.

“Namun, bagi sistem kecil seperti ribut petir, lokasi kejadiannya sukar ditentukan dengan tepat kerana ia boleh terbentuk secara tiba-tiba di sesuatu kawasan.

“Kadangkala ia hanya melibatkan kawasan kecil, tetapi kesannya boleh besar termasuk hujan lebat, angin kencang dan banjir kilat,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip

Mengulas lanjut, katanya corak hujan kebelakangan ini juga berubah dengan intensiti tinggi dalam jangka masa singkat berbanding corak hujan berpanjangan seperti dahulu.

“Secara mudahnya saya gambarkan begini… dulu hujan berlaku dalam tempoh panjang dan air turun satu… satu… satu sampai lah 10. Tetapi sekarang hujan lebat berlaku dalam tempoh singkat dan air jatuh 10 terus.

“Perubahan corak hujan yang berlaku dalam tempoh singkat dengan jumlah air yang banyak telah meningkatkan risiko kejadian banjir kilat,” katanya.

Menurut beliau, walaupun teknologi seperti radar dan satelit digunakan untuk memantau cuaca, keupayaan untuk meramal fenomena cuaca kecil masih mempunyai kekangan.

“Dalam kebanyakan keadaan, pembentukan ribut petir hanya dapat dikesan apabila awan mula terbentuk di sesuatu kawasan,” katanya.

Dalam masa sama, MetMalaysia terus berusaha meningkatkan ketepatan ramalan melalui penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Penggunaan teknologi ini diharap dapat membantu meningkatkan ketepatan ramalan terutama bagi cuaca jangka pendek,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619