Hilang kaki akibat kemalangan, bantuan kerusi roda elektrik mudahkan pergerakan

23 Apr 2026, 10:47 AM
Hilang kaki akibat kemalangan, bantuan kerusi roda elektrik mudahkan pergerakan
Hilang kaki akibat kemalangan, bantuan kerusi roda elektrik mudahkan pergerakan
Hilang kaki akibat kemalangan, bantuan kerusi roda elektrik mudahkan pergerakan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kehilangan kaki kiri akibat kemalangan jalan raya tidak mematahkan semangat seorang kakitangan Kerajaan Negeri apabila kini mampu bergerak lebih mudah hasil sumbangan kerusi roda elektrik daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Aminuddin Mohd Supian, 37, berkata kejadian yang berlaku pada Ogos tahun lalu di Lebuhraya Guthrie mengubah kehidupannya selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah treler yang diparkir di bahu jalan.

Menurutnya, insiden tersebut menyebabkan beliau kehilangan sebelah kaki selepas menjalani rawatan selama sebulan di hospital.

“Saya terlibat kemalangan dengan treler yang parkir di tepi jalan dan akibatnya kehilangan sebelah kaki selepas sebulan dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Kini bertugas di Balai Penghulu, Pembangunan Luar Bandar Rawang, Aminuddin memberi tumpuan kepada proses pemulihan termasuk menjalani fisioterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Aminuddin Mohd Supian, 37, ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kerusi roda elektrik di kediamannya di Seksyen 17, Shah Alam pada 23 April 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau juga berulang-alik ke hospital dengan memandu sendiri, selain berusaha menguruskan kehidupan harian secara berdikari.

“Sekarang saya fokus fisioterapi dan banyak urusan harian saya lakukan sendiri walaupun sebelum ini isteri banyak membantu,” katanya.

Aminuddin menjelaskan sumbangan kerusi roda elektrik banyak membantu memudahkan pergerakan terutama untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Saya bersyukur kerana bantuan ini meringankan beban dan memudahkan pergerakan, lebih-lebih lagi untuk ulang-alik ke hospital,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Gombak yang prihatin terhadap kebajikannya walaupun baru diserap ke jawatan tetap.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kerusi roda elektrik kepada Aminuddin Mohd Supian, 37, di Seksyen 17, Shah Alam pada 23 April 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan tersebut disalurkan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai keadaan mangsa daripada Pejabat Tanah dan Daerah Gombak.

Menurutnya, sumbangan kerusi roda elektrik itu diluluskan melalui Jawatankuasa Pengurusan Zakat Wakalah MBI dan mampu menampung berat sehingga 200 kilogram.

“Kami akan terus membantu rakyat Selangor dan memastikan bantuan yang disalurkan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619