SHAH ALAM, 23 APRIL: Jumlah pelajar yang mengikuti kelas pemulihan di negeri ini menunjukkan penurunan kepada kira-kira 17,000 orang tahun ini berbanding 25,000 tahun lalu.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata Program Didik Kasih (PDK) dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan positif tersebut.

"Kita dimaklumkan jumlah murid tahun dua hingga enam di seluruh negeri yang memasuki kelas pemulihan berkurang daripada 25,000 kepada 17,000 tahun ini.
"Ini menunjukkan langkah intervensi Kerajaan Negeri melalui penyediaan modul PDK, selain inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi kokurikulum, memberi kesan yang jelas," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan PDK 2026 bagi daerah Petaling Perdana di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway, hari ini.

Terdahulu, seramai 26,572 pelajar tingkatan empat dan lima di daerah berkenaan menerima modul PTRS, manakala 3,128 murid pemulihan tahun dua hingga enam menerima modul PDK.
Menurut Azri, sebanyak 45 sekolah menengah serta 92 sekolah rendah di Petaling Perdana terlibat menerima modul tersebut hari ini.
"Modul ini diberikan secara percuma sebagai usaha Kerajaan Negeri memastikan tiada pelajar tercicir dan terus mendapat bantuan.
"Kita berharap inisiatif ini dapat membantu kelancaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mengurangkan bilangan murid yang memerlukan kelas pemulihan," katanya.











