KUALA SELANGOR, 18 APRIL: Seramai 16,800 pelajar menerima manfaat Program Kembali ke Sekolah yang dilaksana di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini, sekali gus membantu meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata setiap DUN melibatkan 300 pelajar dengan jumlah peruntukan keseluruhan sekitar RM1.7 juta.

“Program ini dilaksanakan bagi memastikan anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih selesa tanpa dibebani masalah kewangan.
“Ia juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan pendidikan rakyat,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Program Jelajah Kembali ke Sekolah Sesi Persekolahan 2026 di Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras DUN Sungai Burong, di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 300 murid di DUN Sungai Burong menerima bantuan menerusi program berkenaan yang diadakan di pusat khidmat tersebut.
“Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan program seperti ini tanpa mengira kawasan bandar atau luar bandar.
“Alhamdulillah, kita juga mempunyai kerjasama baik dengan Pegawai Penyelaras di sini dan sentiasa berusaha menjayakan pelbagai inisiatif di kawasan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Maruwan Ahmad berkata inisiatif tersebut memberi kelegaan kepada keluarga yang memerlukan, khususnya dalam menghadapi kos persiapan sekolah.

“Program ini dilaksanakan setiap tahun bagi membantu meringankan beban ibu bapa dan memastikan pelajar lebih bersedia memulakan sesi persekolahan,” katanya.
Program Jelajah Kembali Ke Sekolah merupakan antara inisiatif tahunan yang dilaksana bagi membantu golongan berpendapatan rendah membuat persediaan persekolahan anak-anak.
Melalui program itu, Kerajaan Negeri terus komited memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Dalam majlis sama, sumbangan turut disampaikan kepada lapan mangsa ribut di Sungai Burong dengan setiap penerima menerima RM1,000.
Sementara itu dalam majlis berasingan di Jeram, 18 lagi mangsa turut menerima bantuan sama.








