SHAH ALAM, 20 APRIL: Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menekankan keutamaan terhadap isu rakyat disifatkan sebagai tepat pada masanya ketika masyarakat berdepan pelbagai cabaran semasa.
Teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hadir ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup selain ketidaktentuan ekonomi global yang memberi kesan kepada kehidupan harian.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Wira Johan Abdul Aziz berkata situasi antarabangsa termasuk konflik Asia Barat dan turun naik harga minyak turut mempengaruhi keadaan dalam negara.

“Teguran Tuanku adalah tepat pada waktu ketika pelbagai isu global memberi kesan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Beliau berkata pandangan dan nasihat baginda wajar dijadikan panduan oleh kerajaan negeri serta wakil rakyat untuk terus memfokuskan isu rakyat.
Katanya, antara perkara perlu diberi perhatian termasuk banjir, longkang, jalan berlubang serta penyediaan infrastruktur yang lebih baik.
“Langkah berjimat cermat yang disarankan seperti menangguhkan program berskala besar dan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu adalah wajar.
“Cadangan menangguhkan program besar dan menggantikannya dengan aktiviti lebih bermanfaat kepada rakyat adalah langkah yang baik,” katanya.

Sementara itu, ADN Sentosa Dr G Gunaraj berkata titah Baginda turut mengingatkan semua pihak supaya memberi perhatian serius terhadap aduan rakyat.
“Setiap aduan penduduk perlu diambil kira dan diselesaikan dengan segera. Bukan sahaja ahli politik, malah agensi kerajaan juga perlu memainkan peranan bagi memastikan setiap isu ditangani dengan berkesan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan beberapa langkah telah diambil di kawasannya termasuk memastikan saliran sentiasa bersih serta pembesaran longkang, selain menyokong penyaluran peruntukan kepada kebajikan rakyat seperti diumumkan kerajaan negeri sebelum ini.
Pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 Selangor, Sultan Sharafuddin menitahkan Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada perbelanjaan penting, khususnya bantuan kepada rakyat bagi meringankan beban yang dihadapi.
Baginda juga mencadangkan penganjuran Sukan Malaysia XXII (SUKMA) Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Selain itu, Sultan Selangor menyambut baik langkah proaktif pentadbiran negeri menubuhkan Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor bagi menangani impak krisis geopolitik di Asia Barat.









