SHAH ALAM, 20 APRIL: Kerajaan Selangor akan meneliti cadangan penangguhan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan mengambil kira pandangan semua Ahli Dewan Negeri (ADN) sebelum sebarang ketetapan dibuat.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata perkara itu akan dibahaskan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi mendapatkan pandangan menyeluruh.
"Kita akan tunggu ADN berbahas terlebih dahulu, kemudian Kerajaan Negeri akan meneliti input yang diterima sebelum menentukan langkah seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DNS ke-15 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Menurutnya, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mencadangkan temasya itu ditangguhkan turut dijadikan panduan dalam pertimbangan Kerajaan Negeri.
"Titah Tuanku sewajarnya kita jadikan panduan dan pedoman untuk kita buat sebarang keputusan susulan," katanya.
Mohd Najwan menjelaskan pandangan dizahirkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu mengambil kira faktor kos serta keadaan semasa, sekali gus memerlukan penelitian menyeluruh.

Beliau turut menegaskan titah berkenaan tidak seharusnya ditafsir sebagai keputusan muktamad, sebaliknya sebagai panduan dalam proses membuat keputusan.
"SUKMA merupakan acara sukan peringkat kebangsaan yang diputuskan secara bersama melibatkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memastikan keputusan yang diambil berlandaskan pertimbangan menyeluruh serta kepentingan semua pihak," katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor mencadangkan penganjuran SUKMA XXII Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Baginda bertitah cadangan itu mengambil kira kos penganjuran yang tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.
Pada 8 April lalu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari mengumumkan SUKMA Selangor 2026 akan tetap berlangsung mengikut jadual dari 15 hingga 24 Ogos ini, namun dianjurkan pada skala lebih kecil susulan tekanan ekonomi semasa.
Taufiq berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan semua aspek secara teliti dan menyeluruh termasuk persiapan pihak penganjur dan barisan atlet negeri.







