SHAH ALAM, 20 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan pandangan Kerajaan Negeri susulan cadangan penangguhan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dizahirkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata langkah itu akan diikuti dengan mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 bagi membincangkan cadangan berkenaan secara terperinci dan menyeluruh.
Menurutnya, mesyuarat itu akan melibatkan semua negeri, Majlis Sukan Negara serta Majlis Olimpik Malaysia.
“Saya menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenaan penangguhan penganjuran SUKMA Selangor 2026.
“Ini merupakan amanat Tuanku atas keprihatinan Baginda terhadap krisis tenaga global yang sedang berlaku dan kesannya terhadap ekonomi negara, di samping mengambil kira keperluan untuk menunggu Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
“Saya juga akan mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah berhubung perkara ini kemudian mengadakan mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan keputusan mengenai penangguhan SUKMA Selangor 2026 ditentukan oleh jawatankuasa tertinggi kejohanan tersebut.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata walaupun memahami kebimbangan dizahirkan Sultan Selangor berhubung keperluan menangguhkan temasya dwitahunan itu, keputusan tetap berada di bawah bidang kuasa jawatankuasa berkenaan.
Katanya, sukan dwitahunan itu ditentukan oleh jawatankuasa tertinggi SUKMA, bukan Kerajaan Negeri.
Sebelum itu, Sultan Selangor berkenan mencadangkan penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai serta Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) baharu siap.
Baginda bertitah ia berikutan penganjuran temasya dwitahunan itu memerlukan peruntukan sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.
SUKMA kali ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan dengan upacara perasmian berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.







