SHAH ALAM, 20 APRIL:Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini komited melaksanakan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohd Hasry Nor Mohd berkata pihaknya akan melaksanakan semua titah dengan memberi keutamaan kepada keselamatan dan kebajikan rakyat.

“Alhamdulillah, titah Tuanku menitikberatkan prestasi dan juga perancangan PBT supaya meningkatkan taraf dari segi aduan dan respon kepada rakyat dengan cepat termasuk menangani isu banjir dan sampah.
“MPKL akan menjunjung titah Tuanku dengan melaksanakan sebagaimana yang dititahkan supaya perkhidmatan kepada rakyat dapat ditingkatkan, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan global sekarang,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, YDP Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shahman Jalaludin memaklumkan pihaknya akan mencari alternatif tambahan bagi menyelesaikan isu rakyat termasuk berkaitan sampah, banjir selaras titah Sultan Selangor.

“Di peringkat MPS, kita sentiasa menambah baik atas segala aduan ataupun perkhidmatan yang diberikan dan akan sentiasa mencari jalan alternatif untuk membantu mereka dalam menyelesaikan isu dari segi aduan, sampah dan banjir,” ujarnya.
Datuk Bandar Petaling Jaya Dato' Mohamad Zahri Samingon pula menegaskan, sepanjang pentadbirannya, penjawat awam sentiasa ditekankan agar turun padang untuk menyantuni masyarakat serta menyelesaikan aduan dengan segera.

“Hari ini Tuanku mengulangi balik PBT tingkatkan perkhidmatan terutama hal berkaitan jalan berlubang dan kutipan sampah, MBPJ sudah melaksanakan cuma akan dtingkatkan lagi dengan menyasarkan pihak atau kawasan yang belum disantuni mengikut titah Sultan Selangor,” jelasnya.
YDP Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Julaihah Jamaludin menyifatkan titah Sultan Sharafuddin sebagai motivasi buat pihaknya untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan.
“MPHS memandang serius teguran tersebut dan bertekad memperkukuh penyampaian perkhidmatan khususnya dalam aspek pengurusan sampah, infrastruktur jalan dan mitigasi banjir, di samping menjana pelaburan yang lebih berkesan,” katanya.
Pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 Selangor, Sultan Sharafuddin menitahkan Reformasi Sistem Tadbir Urus (RSTU) melibatkan PBT digerakkan secara pantas bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan lebih cekap dan berkesan.
Sultan Selangor bertitah langkah itu penting memandangkan PBT merupakan agensi barisan hadapan yang berurusan secara terus dengan rakyat serta memberi kesan kepada kehidupan harian mereka.








