SHAH ALAM, 20 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyambut baik langkah proaktif pentadbiran negeri menubuhkan Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor bagi menangani impak krisis geopolitik di Asia Barat.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan supaya tindakan terbabit dilaksanakan segera dan tidak hanya dijadikan sebagai hasrat atau cadangan semata-mata.
“Beta menyambut baik penubuhan Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor yang akan menjadi sebahagian daripada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk membuat analisa dan merencana tindakan supaya kesan ekonomi dapat diminimakan.
“Namun segala tindakan ini perlu dilaksanakan segera dan jangan hanya sekadar hasrat dan cadangan semata-mata,” titah Baginda sempena istiadat menyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) yang ke-15 hari ini.
Pada 6 April, Dato’ Menteri Besar mengumumkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dilantik sebagai pengerusi pasukan berkenaan, selain turut dianggotai Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Tan Sri Dr Noor Azlan dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Dato’ Mohamed Rafique Merican.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan itu akan mencadangkan langkah segera untuk mengurangkan kesan kepada rakyat serta merangka tindakan sehingga tempoh setahun sekiranya perang berterusan.
Beliau berkata penubuhan tersebut menjadi permulaan kepada rangka tindakan menyeluruh di peringkat negeri bagi menyokong usaha kerajaan persekutuan dalam menangani kesan krisis berkenaan.








