Peruntukan pendidikan RM136.21 juta perkasa pendidikan anak Selangor

20 Apr 2026, 5:18 AM
Peruntukan pendidikan RM136.21 juta perkasa pendidikan anak Selangor
Peruntukan pendidikan RM136.21 juta perkasa pendidikan anak Selangor
Peruntukan pendidikan RM136.21 juta perkasa pendidikan anak Selangor

SHAH ALAM, 20 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan peruntukan pendidikan berjumlah RM136.21 juta disalur Kerajaan Negeri sebagai langkah tepat membentuk generasi muda Selangor yang berwawasan serta berdaya saing.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, peruntukan itu selari dengan keperluan semasa serta pendekatan proaktif kerajaan dalam meningkatkan keupayaan dan kapasiti golongan muda.

Menurut Baginda, fokus terhadap pendidikan generasi muda amat penting kerana mereka merupakan harapan masa depan Selangor.

“Beta bersetuju dengan langkah kerajaan Beta untuk meningkatkan fokus kepada aspek pendidikan generasi muda, termasuk intervensi awal dalam literasi dan numerasi, serta penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” titah Baginda sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Dewan Negeri Selangor ke-15 yang berlangsung di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Baginda turut menekankan kepentingan pemerkasaan inisiatif pendidikan seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) serta pemberian kelas percuma bahasa ketiga.

Selain itu, bantuan bayaran yuran 50 peratus kepada pelajar negeri yang layak di Universiti Selangor dan Universiti Islam Antarabangsa Selangor juga langkah memperkukuh ekosistem pendidikan negeri.

“Beta percaya langkah yang dirancang rapi serta mempunyai kesinambungan ini akan melengkapkan ekosistem pendidikan dan amat penting untuk membentuk generasi muda Selangor yang berwawasan,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor memaklumkan 21,295 anak Selangor yang mencapai usia 18 tahun pada 2026 bakal menerima bantuan RM1,500 seorang menerusi Tabung Warisan Anak Selangor yang diperkenalkan sejak 2008.

Baginda turut menegaskan kepentingan pengukuhan aspek kerohanian melalui penubuhan Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) serta Pusat Hadis Sedunia bagi meningkatkan kualiti kehidupan umat Islam di negeri ini.

“Program BINGKAS Plus untuk membantu rakyat yang berisiko menjadi miskin tegar satu langkah proaktif yang memastikan golongan ini dapat menerima sokongan awal supaya tidak jatuh ke dalam kategori miskin tegar,” titah Baginda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619