Konflik Asia Barat jadi isyarat awal perkukuh ketahanan tenaga Malaysia, kata penganalisis

19 Apr 2026, 3:00 AM
Konflik Asia Barat jadi isyarat awal perkukuh ketahanan tenaga Malaysia, kata penganalisis
Konflik Asia Barat jadi isyarat awal perkukuh ketahanan tenaga Malaysia, kata penganalisis

SHAH ALAM, 19 April: Konflik Asia Barat yang semakin memuncak menjadi isyarat awal kepada Malaysia untuk memperkukuh ketahanan tenaga negara.

Ketegangan di laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan hampir satu perlima perdagangan minyak dunia mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan dan harga tenaga global.

Felo Akademi Kenegaraan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata konflik tersebut bukan sekadar melibatkan dua negara, sebaliknya memberi kesan menyeluruh kepada sistem ekonomi dunia.

“Krisis ini mendedahkan kelemahan struktur tenaga Malaysia yang masih bergantung kepada fosil,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor bertajuk Konflik Asia Barat: Sejauh Mana Malaysia Terancam? pada 14 April lalu.

Tambahnya, walaupun Malaysia telah memulakan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui, langkah tersebut masih perlahan berbanding cabaran masa depan.

“Krisis ini sepatutnya menjadi satu bentuk ‘wake-up call’ bahawa keselamatan tenaga bukan sekadar soal ada atau tiada bekalan, tetapi keupayaan negara menampan kejutan berbulan-bulan tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi, sosial dan politik,” kata pensyarah Universiti Malaya (UM) itu lagi.

Menurutnya, Malaysia perlu bertindak lebih agresif dengan mempelbagaikan sumber tenaga serta memperkukuh kerjasama serantau.

“Malaysia perlu melakukan kedua-duanya sekaligus, iaitu mempelbagaikan sumber import tenaga dan pada masa sama memperkukuh kerjasama ASEAN,” katanya.

Tambahnya dalam dunia yang semakin tidak menentu, kekuatan sesebuah negara tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada keupayaan domestik, sebaliknya kepada keupayaan membina daya tahan bersama negara jiran.

Dalam perkembangan berkaitan, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memaklumkan bekalan minyak negara dijangka mencukupi sehingga akhir Jun, sekaligus memberi sedikit kelegaan dalam jangka pendek.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Awang Azman turut menasihatkan rakyat agar tidak panik, sebaliknya lebih bersedia menghadapi kemungkinan kesan krisis termasuk kenaikan kos hidup.

Beliau berkata sikap berbelanja tanpa mengambil kira situasi global perlu diubah, selain penting untuk memahami realiti sebenar krisis dunia.

“Kerajaan perlu memberi penerangan yang berterusan, bersifat mendidik dan berfakta supaya rakyat faham dan bersedia, bukan sekadar menenangkan,” katanya.

Setakat 17 April, media melaporkan Iran mengesahkan Selat Hormuz kini dibuka semula kepada kapal komersial susulan perjanjian gencatan senjata yang dicapai di Lubnan.

 Pembukaan tersebut berkuat kuasa sepanjang tempoh gencatan senjata selama 10 hari yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.

Kapal tangki Callisto berlabuh di Pelabuhan Sultan Qaboos ketika trafik di Selat Hormuz berkurangan susulan konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, di Muscat, Oman pada 12 Mac 2026. Foto REUTERS

 Araghchi menerusi satu hantaran di platform X memaklumkan selat itu dibuka kepada semua kapal komersial sepanjang tempoh berkenaan, susulan persetujuan antara Israel dan Lubnan, lapor Reuters. 

Pada 16 April, Selangor memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta, khusus bagi mendepani krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media Strategi Persediaan Kerajaan Negeri Selangor Mendepani Krisis Asia Barat di Dewan Annex, Shah Alam pada 16 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pakej fasa pertama yang bermula Jun ini bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan selain mengawal kadar inflasi daripada meningkat keterlaluan.

Pakej bantuan bersasar kepada golongan rentan itu menggunakan peruntukan negeri dalam Belanjawan 2026, yang disusun semula mengikut keperluan semasa.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619