SHAH ALAM, 17 APRIL: Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta disifatkan sebagai langkah tepat dan strategik dalam menghadapi cabaran ekonomi global serta tekanan kos sara hidup ketika ini.
Setiausaha Wanita KEADILAN, Sangetha Jayakumar berkata inisiatif tersebut dilaksanakan pada waktu kritikal ketika Selangor berdepan kesan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.
Menurutnya, pakej berkenaan menggabungkan pendekatan dasar fiskal kontra-kitaran dengan perlindungan sosial bersasar bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Sejak tercetusnya perang Iran, rakyat Selangor berdepan kebimbangan berterusan terhadap kos sara hidup dan jaminan sumber pendapatan.
“Situasi ini berpunca daripada ketidaktentuan pengurusan antarabangsa oleh kuasa besar sehingga mencetuskan gangguan besar kepada rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, sekatan berterusan di Selat Hormuz menjadi antara faktor utama yang menjejaskan aliran bahan api dan komoditi penting, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi domestik.
Sangetha berkata tindakan proaktif Kerajaan Selangor pada waktu genting ini membolehkan rakyat dan perniagaan bukan sahaja bertahan, malah terus berfungsi dalam suasana tidak menentu.
“Pendekatan ini mencerminkan keperluan kepada autonomi strategik apabila sistem global gagal melindungi kepentingan rakan dagang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Selangor kini berdepan kejutan penawaran yang berpotensi mencetuskan inflasi tolakan kos dalam sektor industri dan runcit.
Katanya, peruntukan RM131 juta itu bertindak sebagai penstabil fiskal bagi mengawal kenaikan harga tempatan selain memastikan kecairan kewangan isi rumah terus terpelihara.
“Pelaksanaan bermula Jun juga penting untuk mengurangkan kesan kelewatan akibat gangguan rantaian bekalan global, yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk pulih sepenuhnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sangetha turut menekankan fokus pakej berkenaan terhadap wanita dan kanak-kanak sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan.

“Program Sarapan Pagi Percuma bernilai RM9.6 juta di 873 sekolah memastikan keperluan nutrisi pelajar terjamin, sekali gus melindungi pembangunan generasi akan datang.
“Selain itu, Baucar Kita Selangor serta Jualan Ehsan Rahmah membantu mengurangkan tekanan kos makanan dan memperkasa ibu serta ketua isi rumah wanita,” katanya.
Beliau menegaskan pakej tersebut bukan sekadar bantuan subsidi, sebaliknya merupakan kerangka ketahanan ekonomi yang menyeluruh.
“Langkah ini melengkapi inisiatif Kerajaan Persekutuan seperti BUDI95 dan Budi Diesel, sambil memastikan Selangor kekal sebagai enjin utama ekonomi negara.
“Ia adalah pendekatan berempati namun berlandaskan prinsip ekonomi yang kukuh bagi memastikan tiada keluarga, khususnya wanita dan kanak-kanak, terpinggir,” jelasnya.








